Pakatan Harapan Berjanji Meringankan Bebanan Kehidupan Rakyat

Leave a Comment

PRU14 | Kini rakyat terbelenggu dengan kos sara hidup yang tinggi. Bebanan ini memaksa sesetengah rakyat untuk melakukan dua pekerjaan, sehingga tiada lagi masa untuk bersama keluarga dan jiran-jiran. Hutang isi rumah pula meningkat begitu tinggi sehingga lebih 20,000 orang muda berumur di bawah 35 tahun telah diisytiharkan muflis.

Para pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi pula terpaksa menanggung hutang sebaik sahaja mereka tamat belajar. Lebih buruk lagi, rakyat biasa di kampung-kampung dan di kawasan-kawasan FELDA juga menanggung sengsara dalam mengharungi kesempitan hidup.

Semua ini mencalarkan kehormatan kita sebagai rakyat Malaysia yang bermaruah kerana kita tidak lagi mampu hidup bahagia di negara sendiri, sedangkan pemimpin politik yang korup hidup senang lenang.

Pakatan Harapan beriltizam untuk meringankan bebanan  kehidupan  rakyat  dengan  melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam buku ini dengan penuh tanggungjawab.

Janji 1: Menghapuskan GST

Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) adalah satu bentuk cukai yang menekan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana. Ia merupakan cukai regresif yang terpaksa dibayar walaupun oleh rakyat termiskin, setelah UMNO dan Barisan Nasional gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Ketirisan dan rasuah yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional kini terpaksa dibayar oleh rakyat melalui GST.

Pakatan Harapan  akan  menghapuskan  GST dalam tempoh 100 hari  selepas  membentuk kerajaan Persekutuan. Langkah ini akan serta merta mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

Pakatan Harapan percaya bahawa rakyat berpendapatan rendah perlu dibantu, bukannya ditekan. Penghapusan GST akan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat dan membolehkan rakyat berbelanja untuk hal-hal lain demi menampung kehidupan mereka.

Dalam jangka masa pendek, Kerajaan Pakatan Harapan  akan   menghapuskan  GST  yang  zalim  ini dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang lebih adil dan tidak menyusahkan rakyat dan peniaga.

Janji 2: Menurunkan tekanan kenaikan harga yang membebani rakyat

Kenaikan harga barang kini semakin berleluasa sehingga kehidupan rakyat biasa menjadi semakin sukar. Kadar inflasi pula naik hampir 4 peratus pada tahun 2017 berbanding dengan 1 peratus sahaja pada tahun 2015, iaitu sebelum GST diperkenalkan. Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional terlalu sibuk mengumpul kekayaan peribadi sehingga mereka terpisah daripada realiti kesusahan hidup rakyat sekarang. Mereka bermegah dengan jet peribadi dan kereta mewah, tetapi rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan keperluan dan petrol.

Pakatan Harapan merasai denyut nadi rakyat yang semakin dibelenggu oleh kesukaran hidup. Kami akan mengambil tindakan segera untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas dan mengawal faktor-faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan syarikat- syarikat besar tidak boleh menzalimi rakyat melalui kuasa monopoli mereka. Monopoli yang dimiliki oleh syarikat-syarikat seperti BERNAS dalam pengeluaran beras,  ASTRO  dalam  sektor  penyiaran,  dan  lain-lain lagi, akan dikaji semula. Harga ubat-ubatan juga akan dipastikan berpatutan dengan cara memastikan wujud persaingan sihat di kalangan pembekal.

Kerajaan Pakatan Harapan akan bekerjasama secara proaktif dengan pihak pembekal untuk memastikan bekalan barang-barang sentiasa mencukupi, terutama di musim perayaan.

Bekalan barangan yang cukup untuk memenuhi permintaan akan menjamin tiada peningkatan harga yang mendadak.

Insentif yang secukupnya juga akan diberikan untuk meningkatkan bekalan keperluan asas supaya tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam masa jangka panjang.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan kadar duti eksais kereta import yang berperingkat bagi kereta pertama dengan enjin bersaiz di bawah 1600 cc. Ini untuk membolehkan pembelian kereta pertama dilakukan dengan harga lebih rendah. Untuk mengelakkan salah guna, hanya satu kereta yang layak bagi satu isi rumah yang berpendapatan di bawah RM8,000 sebulan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk menghapuskan kutipan tol di lebuh raya secara berperingkat.

Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos barangan keperluan harian ialah kejatuhan nilai matawang Ringgit di pasaran antarabangsa. Nilai Ringgit telah jatuh berbanding hampir   semua   matawang   dunia.   Malahan   juga jika dibandingkan dengan Baht Thailand dan Taka Bangladesh! Malaysia  mengimport lebih daripada 90 peratus bekalan susu, 70 peratus bekalan daging dan 50 peratus bekalan sayur. Apabila nilai Ringgit merudum maka, harga barangan ini telah meningkat naik di Malaysia. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan tanggungjawab kepada Bank Negara Malaysia untuk merangka strategi terbaik untuk mengembalikan nilai Ringgit kembali ke potensi sebenarnya dalam masa 3 tahun.

Janji 3: Berkongsi kekayaan negara secara bersasar

Perkembangan ekonomi Malaysia juga jelas tidak membawa faedah yang sama rata kepada rakyat. Golongan kaya bertambah kaya tetapi golongan pertengahan dan bawahan terus tertekan. Umum sedia maklum bahawa peningkatan gaji median di Malaysia adalah terlalu rendah, dan bilangan pekerja di Malaysia yang mendapat gaji kurang daripada RM2000 sebulan adalah terlalu ramai. Ini perlu diperbetulkan dengan segera.

Kekayaan negara kini dibolot dengan rakus oleh beberapa kerat pemimpin politik, isteri, dan anak-anak mereka.  Mereka  hidup  mewah  dan  boros,  tatkala rakyat sengsara menanggung kos sara hidup seharian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kekayaan negara boleh dikongsi bersama oleh warga Bumiputera dan semua rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, termasuklah golongan yang memerlukan di kalangan kaum India dan Orang Asal.

Golongan B40 sedang menghadapi kesukaran hidup yang ketara. Golongan M40 juga berhadapan dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Kedua-dua kumpulan ini memerlukan bantuan kerajaan dengan cara   dan  kadar   yang bersasar.  Bantuan  bersasar juga akan memastikan bahawa hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan kerajaan, manakala golongan yang kaya tidak boleh mengeksploitasi kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri.

Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa pemberian bantuan kerajaan perlu dilakukan agar tidak ada rakyat yang ketinggalan. Ini menuntut kepada satu mekanisme yang lebih tersusun yang boleh diwujudkan setelah kita meneliti sistem jaminan sosial yang wujud di negara-negara lebih maju.

Mereka yang layak menerima BR1M akan terus menerima bantuan dan proses pembayaran akan dipastikan bebas daripada diskriminasi atau pengaruh politik kepartian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaiki sistem ini agar pengurusan dan pemberiannya lebih setara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pengaruh politik dihapuskan daripada proses pemberian bantuan agar semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik akan terus mendapat bantuan dan ia ini tidak disalah guna. Penyaluran bantuan kerajaan melalui parti-parti politik atau mereka yang berkepentingan politik akan dihentikan kerana ini adalah amalan yang tidak beretika.  Sebaliknya, pengagihan akan dibuat melalui jentera kerajaan dan badan-badan kebajikan yang tulin.

Sistem bantuan kewangan bersasar tersebut akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang universal (universal social safety net) bagi semua rakyat yang layak, sepertimana yang kini wujud di negara-negara maju.

Pada peringkat awal, skim bantuan ini akan memberi keutamaan kepada rakyat berpendapatan paling rendah di kawasan luar bandar, terutamanya di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Sabah, serta kawasan-kawasan FELDA dan FELCRA. Skim ini akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.

Pelaksanaan skim ini akan memerlukan penambahbaikan yang signifikan terhadap pangkalan data dan maklumat yang disimpan oleh kerajaan.

Maklumat yang kini disimpan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, program eKasih, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan agensi-agensi lain, termasuklah di negeri-negeri, akan diselaraskan agar data yang dimiliki sentiasa terkini dan tepat.

Negeri-negeri    pengeluar    minyak    dan    gas    akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya. Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada
20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri.

Janji 4: Menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa

UMNO dan Barisan Nasional telah gagal dalam usaha menambah bilangan rumah mampu milik. Janji untuk membina 1 juta rumah mampu milik sebelum tahun 2020 telah dilupakan dan tidak sampai separuh bilangan tersebut dapat dibina.

Hari ini, betapa ramai rakyat Malaysia, terutama golongan muda, yang tidak mampu memiliki rumah sendiri. Hasil daripada kegagalan UMNO dan Barisan Nasional menguruskan perancangan perumahan negara, kini terdapat lebihan bekalan rumah mahal berharga lebih daripada RM500,000, manakala rumah yang  di  bawah  RM250,000  pula  tidak  mencukupi. Kami akan memperbetulkan kelemahan ini dengan segera dan memberi keutamaan kepada projek-projek membina rumah mampu milik.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluaskan skim sewa milik (rent-to-own) di seluruh negara. Kami akan mencari kata sepakat dengan bank-bank komersial agar boleh diwujudkan skim sewa milik dengan pemaju swasta dan juga di pasaran sekunder (secondary market). Di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, mereka yang sekarang sedang menyewa akan diberi peluang untuk berhijrah ke skim sewa milik sekiranya mereka layak.

Salah   satu   penyumbang   utama   kepada   kenaikan harga   rumah   yang   terlalu   tinggi   ialah   kesukaran untuk mendapatkan tanah kerana ada beberapa pemaju   gergasi,   termasuklah   syarikat-syarikat   GLC, yang memonopoli tanah untuk membina “landbank”, dan seterusnya menunggu harga naik tinggi sebelum mula membina. Akibatnya, harga tanah naik dengan mendadak dan seterusnya meningkatkan harga rumah. Para pemaju kecil juga tidak dapat memasuki pasaran yang dimonopoli oleh syarikat-syarikat besar ini.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menetapkan satu had masa untuk projek perumahan disiapkan agar tiada syarikat yang menyimpan tanah perumahan tanpa diusahakan.

Insentif juga akan diberikan kepada pemaju kecil dan sederhana Bumiputera dan bukan Bumiputera agar mereka boleh bersaing dengan lebih sihat dengan syarikat pemaju gergasi.

Kerajaan PH juga akan merombak rancangan PR1MA agar tidak wujud lagi eksploitasi oleh syarikat-syarikat pemaju kroni yang mendapatkan tanah kerajaan dengan harga murah, tetapi meraih keuntungan tinggi dengan membina hanya sedikit rumah mampu milik.

Untuk mempertingkat pemilikan rumah di kalangan Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan dan mempermudahkan proses pembinaan rumah mampu milik di atas tanah-tanah waqaf, dengan cara memberi insentif kepada Majlis- Majlis Agama Islam Negeri-negeri bekerjasama dengan pemaju swasta. Ini akan menambah bilangan rumah mampu milik yang menyasarkan masyarakat Muslim.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk mempermudah proses penukaran status tanah sekiranya pemaju mencadangkan   pembinaan   rumah   mampu   milik. Kuota rumah mampu milik akan dinaikkan supaya lebih banyak unit yang termasuk dalam kategori ini. Insentif cukai   akan   diberikan   kepada   syarikat   perumahan yang memfokus kepada perumahan mampu milik, terutamanya dengan menggalakkan penggunaan teknologi terkini seperti Industrialised Building System (IBS) agar kos dapat dikurangkan.

Bagi memastikan tumpuan yang lebih tinggi boleh diberikan, satu Majlis Perumahan Mampu Milik Kebangsaan   akan   diwujudkan   untuk   menyatukan gerak kerja semua agensi yang berkaitan di bawah satu bumbung, dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Majlis ini, antara lain, akan mengambil langkah-langkah berikut:
  • membina satu juta rumah mampu milik dalam
  • masa dua penggal pentadbiran kami.
  • menyelenggara satu pengkalan data terbuka rumah mampu milik yang belum terjual, untuk mengelak penyembunyian maklumat oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab.
  • menyelenggara  program sewabeli rumah mampu milik untuk golongan M40 dan B40, serta program khas “rumah mampu sewa” untuk mereka yang layak, terutamanya daripada golongan anak muda.
  • menyelaras perancangan dengan institusi perbankan agar akses kepada pinjaman perumahan untuk pembelian rumah pertama boleh diperluaskan.
  • mengambil  alih  penyelenggaraan  perumahan kos rendah demi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh penduduk.
Janji 5: Meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak muda

Anak muda perlu dibantu untuk memulakan kehidupan berdikari agar mereka boleh menjadi penyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan. Namun pada hari ini, anak muda semakin tertekan dengan peningkatan kos sara hidup, terutama jika mereka baru sahaja memulakan kerjaya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada anak muda yang layak untuk membeli atau menyewabeli rumah mampu milik di seluruh Malaysia.

Untuk membolehkan anak muda memiliki kenderaan yang sesuai, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan kadar duti eksais kereta import yang berperingkat bagi kereta pertama dengan enjin bersaiz di bawah 1600 cc agar pembeliannya dapat dilakukan dengan harga lebih rendah.

Bebanan hutang PTPTN yang ditanggung oleh graduan akan dikurangkan dengan cara melanjutkan tempoh mula bayar agar mereka mula membayar hanya apabila pendapatan bulanan kasar mencapai RM4,000 sebulan. Pelajar yang cemerlang dan juga pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah akan diberikan diskaun bayaran yang setimpal ataupun hutang PTPTN akan dilupuskan seluruhnya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan insentif perkahwinan seperti yang diamalkan di oleh pentadbiran kami di Selangor.

Ini akan membantu pasangan muda berumur di bawah 35 tahun dalam perkahwinan pertama mereka.

Kerajaan  Pakatan  Harapan  yakin  bahawa  majikan yang baik akan turut sama membantu menyelesaikan bebanan hutang PTPTN pekerja mereka. Oleh itu, insentif cukai akan dberi kepada majikan yang membantu membuat bayaran balik tanpa memotong gaji pekerja terbabit.

Untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang bersesuaian dengan kelayakan anak muda, Kerajaan Pakatan Harapan akan merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pelaburan negara dengan cara mempercepat integrasi ekonomi Malaysia ke dalam sistem ekonomi global dan serantau.

Selanjutnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengusahakan agar mobiliti graduan dimasukkan sebagai salah satu daripada agenda Komuniti Ekonomi ASEAN. Ini akan untuk membolehkan graduan Malaysia meneroka peluang pekerjaan di negara-negara ASEAN yang lain.

Pertumbuhan ekonomi digital dan ekonomi kreatif yang kini semakin popular di kalangan anak muda juga akan didokong oleh Kerajaan Pakatan Harapan. Dalam rangka mencapai matlamat ini, kami akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan harga internet jalur lebar sehingga separuh daripada kadar sekarang, tetapi meningkatkan kelajuannya sebanyak dua kali ganda.

Janji 6: Menghapuskan kutipan tol

Syarikat-syarikat yang diberikan konsesi tol oleh kerajaan menikmati keuntungan yang sangat tinggi. Buktinya ialah sebuah syarikat, iaitu MAJU Holdings, boleh menawarkan untuk mengambil alih Lebuhraya PLUS dengan janji untuk tidak menaikkan bayaran tol selama
20 tahun. Jika konsesi itu tidak untung, bagaimana mungkin MAJU Holdings menawarkan untuk mengambil alih tanpa menaikkan bayaran sebegitu lama?

Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus membiarkan syarikat penerima konsesi, seperti PLUS, terus menerus menekan   rakyat   demi   keuntungan,   walaupun   ia adalah syarikat milik kerajaan. Jelas sekali, UMNO dan Barisan Nasional tiada keinginan untuk menghentikan kenaikan harga tol. Malahan, perjanjian yang mereka tandatangani memaksa wang rakyat digunakan untuk memberi pampasan berbilion ringgit kepada syarikat- syarikat terpilih. Walaupun tol mungkin tidak dinaikkan atau dihapuskan, syarikat-syarikat terpilih itu terus mengaut keuntungan akibat perjanjian berat sebelah.

Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa monopoli konsesi yang dimiliki oleh syarikat-syarikat tertentu yang rapat dengan kerajaan perlu dihentikan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkaji semula semua perjanjian konsesi lebuhraya. Kami akan berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik untuk mengambil alih setiap konsesi tol dengan matlamat akhir untuk menghapuskan kutipan tol secara berperingkat.

Kami  percaya  bahawa  penyediaan infrastruktur asas seperti jalanraya dan lebuhraya adalah tanggungjawab kerajaan untuk rakyat.

Kerajaan   Pakatan   Harapan   akan   mengambil   alih konsesi dengan pampasan yang adil kepada syarikat berkaitan.

Janji 7: Menyediakan subsidi minyak bersasar

Tindakan UMNO dan Barisan Nasional menghapuskan subsidi minyak pada akhir tahun 2014 telah menyumbang kepada lonjakan kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat. Akibatnya, rakyat terbelenggu dengan peningkatan kos sara hidup yang mendadak.

Peningkatan harga minyak mempunyai kesan yang signifikan ke atas kos sara hidup, iaitu, contohnya, melalui kos ulang alik ke tempat kerja untuk mencari rezeki yang halal. Kesan terburuk dihadapi oleh golongan B40 dan sebahagian mereka yang berada di peringkat bawah kelompok M40.

Penghapusan subsidi minyak secara mendadak oleh UMNO dan Barisan Nasional dengan tidak menyediakan langkah untuk membantu mereka yang terjejas teruk, adalah satu kezaliman. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan subsidi minyak pada kadar yang sesuai setiap bulan kepada golongan yang layak untuk kegunaan motorsikal 125 cc ke bawah dan kereta 1300 cc ke bawah. Satu kuota yang sesuai akan ditetapkan.

Pada hari ini, sudah wujud teknologi yang membolehkan kad pengenalan digunakan di kios pam minyak. Kami akan merangka satu mekanisme pemberian subsidi dengan menggunakan maklumat dalam rekod kad pengenalan. Dengan cara ini, subsidi hanya akan disasarkan kepada golongan yang memerlukan sahaja.

Bagaimanapun, dalam proses pemberian subsidi ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa mengambil kira keperluan untuk memastikan bilangan kenderaan persendirian di Malaysia tidak meningkat dengan mendadak  sehingga  mencemar alam sekitar. Kerajaan Pakatan Harapan akan terus komited untuk memperbanyak dan memperbaiki pengangkutan awam agar pemilikan kenderaan bukan lagi menjadi suatu keperluan yang membelenggu rakyat.

Janji 8: Memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam

Sistem pengangkutan awam sekarang terlalu berpusat di Kuala Lumpur. Kawasan-kawasan lain di seluruh negara masih memerlukan peningkatan liputan pengangkutan awam, baik di bandar-bandar besar apatah lagi di luar bandar. Ini mewujudkan suasana yang ironis, di mana golongan berpendapatan rendah di kampung-kampung memerlukan kereta untuk pergi ke mana-mana, walaupun pendapatan mereka adalah terhad.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperluas akses dan liputan perkhidmatan pengangkutan awam dengan cara mewujudkan insentif bagi syarikat bas untuk berkhidmat di kawasan sekitar bandar dan luar bandar. Syarikat-syarikat bas yang mahu mendapat konsesi bagi laluan yang membawa keuntungan akan diwajibkan menyediakan perkhidmatan di laluan yang kurang padat. Tindakan tegas akan diambil sekiranya syarikat- syarikat ini gagal mematuhi peraturan, agar kelemahan yang wujud selama ini dapat diperbaiki.

Kerajaan Pakatan Harapan memandang positif perkembangan teknologi baru dan pertumbuhan sektor ekonomi perkongsian seperti e-hailing yang semakin banyak digunakan. Ada juga negara yang kini sedang mencuba teknologi ini untuk perkhidmatan bas dan motorsikal.

Kami   akan   bekerjasama   dengan   syarikat-syarikat dan  pemilik-pemilik  bas  dan  bas  sekolah  sedia  ada, dan  akan menggalakkan usahawan tempatan yang memiliki kenderaan yang sesuai untuk menceburi dan bersaing dalam sektor ini, agar ia tumbuh dengan pesat di kawasan-kawasan yang memerlukan lebih banyak pengangkutan awam, termasuk kawasan luar bandar serta di Sabah dan Sarawak.

Kami juga akan mengurangkan kos bayaran lesen bas sekolah.

Ini memerlukan sistem perundangan dan kawal selia yang mesra inovasi, agar lebih ramai individu boleh melibatkan diri dalam sektor e-hailing, lantas menyumbang ke arah peningkatan akses pengangkutan awam dan pada waktu yang sama mempelbagai peluang pekerjaan di luar bandar. Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkukuh hak para pemandu e-hailing, dan pada waktu yang sama memastikan hak dan kebajikan para pemandu teksi juga turut terjaga.

Kami akan memastikan syarikat-syarikat pengangkutan bersaing secara sihat untuk mendapatkan konsesi, agar tidak wujud monopoli, lantas menyumbang kepada penurunan kos.

Di bandar-bandar besar seluruh negara, kami akan memperkenalkan secara berperingkat skim pas pengangkutan bulanan dengan kos RM100 sebulan sahaja yang akan membolehkan penggunaan pelbagai jenis pengangkutan awam dengan satu pas.

Untuk memastikan kualiti perkhidmatan bas awam boleh diperbaiki, kami akan memastikan berlaku pertambahan 10,000 unit bas awam di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

Janji 9: Mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan

Akses yang sama rata kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti merupakan satu indikator penting sebuah masyarakat yang seimbang. Tetapi kini perkhidmatan kesihatan yang berkualiti lebih mudah diakses oleh golongan berpendapatan tinggi. Beberapa hospital awam secara umumnya mempunyai peralatan yang canggih dan doktor pakar yang amat komited dengan tanggungjawab mereka. Tetapi mereka dibebani dengan bilangan pesakit yang amat ramai dan di luar kapasiti yang dapat ditanggungnya. Antara faktor penyebabnya ialah kegagalan UMNO dan Barisan Nasional memberi peruntukan yang mencukupi untuk sektor kesihatan. Sehingga hari ini, kita masih jauh daripada kadar 7 peratus yang disarankan oleh badan antarabangsa.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan peruntukan kewangan bagi Kementerian Kesihatan dinaikkan kepada 4 peratus daripada KDNK dalam penggal pertama pentadbiran kami. Ini akan memastikan kegagalan UMNO dan Barisan Nasional yang hanya memperuntukan 2 peratus daripada KDNK sahaja akan diperbaiki segera.

Pakatan Harapan sedar bahawa rakyat semakin bimbang tentang kos kesihatan yang semakin meningkat. Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak mampu membeli insuran kesihatan yang diperlukan.

Kerajaan  Pakatan  Harapan  akan  memperkenalkan Skim Peduli Sihat, iaitu seperti yang telah dilaksanakan di Selangor, ke seluruh negara. Skim ini memperuntukkan RM500  setahun  untuk  keluarga  B40  untuk  melawat klinik swasta bagi rawatan asas (primary care). Ini akan memastikan mereka tidak bergantung hanya kepada hospital-hospital   atau   pusat-pusat   kesihatan   awam yang mungkin jauh dari rumah. Ia juga mengurangkan bebanan tugas pegawai kesihatan awam.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengusahakan kerjasama lebih erat antara pusat-pusat kesihatan awam dengan klinik-klinik swasta supaya liputan perkhidmatan dipertingkatkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah peruntukan dan memberi insentif untuk penglibatan syarikat swasta dan badan-badan kebajikan untuk merawat penyakit jarang berlaku (rare diseases), terutamanya  di  kalangan  golongan  kurang  berada, dan untuk membantu keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan kepada penyakit tidak berjangkit. Ini termasuk pencegahan, pengesanan awal penyait berkenaan, serta memberikan rawatan penyakit barah. Ini memerlukan strategi dan kerjasama pelbagai sektor dan lapisan masyarakat, termasuk perancangan bandar, pengangkutan awam, perundangan industri makanan dan sebagainya.

Lebih banyak sumber kerajaan akan disalurkan kepada penjagaan kesihatan mental melalui hospital-hospital awam, terutamanya dari segi sumber manusia dan juga melalui perlindungan insurans.

Kerajaan juga akan menyediakan vaksin pneumokokus (pneumococcal vaccination) secara wajib untuk semua kanak-kanak di bawah umur 2 tahun iaitu seperti yang dilakukan oleh banyak negara lain.

Untuk menangani isu rawatan pesakit terminal, insentif akan disediakan untuk penubuhan pusat penjagaan paliatif (palliative care) di seluruh negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya menyediakan plan terperinci untuk menyelesaikan masalah doktor-doktor muda atau houseman yang terpaksa menunggu terlalu lama. Peluang pendidikan dalam bidang perubatan akan diteliti untuk memastikan bilangan pelajar perubatan dan juga bilangan biasiswa atau pinjaman yang diberikan adalah selaras dengan kapasiti dan keperluan doktor dalam negara. Penajaan untuk belajar di luar negara akan diberi hanya untuk universiti yang menepati piawaian yang sewajarnya.

Janji 10: Menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani

Bekalan makanan yang terjamin adalah penting untuk kelangsungan hidup rakyat. Stok makanan asas yang mencukupi, serta kebolehan untuk mengeluarkan produk makanan asas dalam negara, akan menjamin bahawa bekalan makanan kita tidak akan terancam.

UMNO dan Barisan Nasional terlalu ghairah dalam menarik pelabur asing yang hanya meminati sektor pengilangan  dan  perkhidmatan,  tetapi  terlupa betapa pentingnya kita mempunyai sektor pertanian yang moden, maju, dan produktif. Ini mengancam keselamatan bekalan makanan (food security) negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menilai semula Dasar Keselamatan Makanan Negara dan mewujudkan satu dasar yang lebih baik dengan cara memanfaatkan teknologi pertanian moden yang terkini. Para petani akan dibantu untuk membolehkan mereka mengakses teknologi tinggi, terutamanya di sektor penanaman padi, sayuran, bahan mentah, ayam, daging dan perikanan.

Matlamat kami ialah memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang boleh menjamin kelangsungan sendiri (self-sufficient) walaupun pada masa krisis.

Strategi ini juga akan memastikan para petani dan peladang   kita   dapat   mempertingkat   pendapatan isi rumah masing-masing, selain membantu dalam menstabilkan harga barangan keperluan asas kerana kita tidak lagi perlu mengimport terlalu banyak dari luar negara.

Dalam dua tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan memberi penekanan terhadap makanan ruji utama negara iaitu beras.

Pakatan Harapan mengambil maklum tuntutan Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras Negara dan berjanji akan membantu pesawah padi seluruh negara dengan matlamat untuk menjadikan industri padi lebih produktif dan memastikan kebajikan pesawah sentiasa terjaga.

Monopoli yang diberi oleh UMNO dan Barisan Nasional kepada BERNAS akan dihapuskan dan kerajaan akan memastikan penyeliaan dilakukan secara holistik di setiap peringkat rantaian pengeluaran beras.

Matlamat kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk memastikan tahap bekalan padi negara mencapai kadar maksimum dan stok keperluan negara akan mengutamakan beras tempatan yang mempunyai kualiti yang sesuai.

Untuk membela nasib para pesawah, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengawal kemasukan beras import dan mengambil tindakan tegas terhadap penyeludupan beras.

Kawalan sempadan akan diperketatkan dan mana- mana anggota pengawal yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan haram akan dikenakan tindakan disiplin yang serius.

UMNO dan Barisan Nasional memberikan kuasa monopoli yang tidak wajar kepada syarikat-syarikat tertentu. Kerajaan Pakatan Harapan akan menghapuskan kuasa monopoli ini.

Kami akan mewujudkan mekanisme aduan di Kemeterian Pertanian untuk membolehkan petani yang merasakan dirinya dianiaya oleh mana-mana pihak boleh membuat bantahan secara terus.

Pemberian subsidi akan diuruskan oleh agensi kerajaan yang sesuai dan bukan lagi oleh syarikat berkepentingan seperti BERNAS. Mekanisme dan kadar subsidi harga padi akan disemak segera untuk memastikan adil kepada petani.

Pemberian bantuan akan dibuat dalam bentuk tunai kepada mereka yang layak untuk membolehkan mereka memilih sendiri baja dan benih yang berkualiti dan sesuai dengan keperluan sawah masing-masing.

Pakatan  Harapan  berpandangan  bahawa  para petani dan peladang adalah wira negara yang kurang pengiktirafan. Mereka mengusahakan tanah sehingga menghasilkan tanaman yang bermutu untuk dinikmati oleh rakyat, tetapi mereka tidak dibantu dengan sewajarnya oleh UMNO dan Barisan Nasional selain daripada pemberian-pemberian kecil semasa musim pilihan raya sahaja.

Kerajaan Pakatan Harapan akan melindungi dan menjaga kebajikan para petani, penternak dan nelayan dengan memperkenalkan satu skim perlindungan Takaful demi menjamin masa depan mereka.

Ada di kalangan para petani dan penternak yang ditimpa musibah apabila berlaku cuaca buruk atau serangan penyakit terhadap tanaman dan penternakan mereka. Kerajaan Pakatan Harapan akan menyediakan bantuan untuk menjamin pendapatan petani, penternak dan nelayan apabila musibah sebegini melanda.

Perhatian akan diberikan kepada para penoreh getah yang    menghadapi    penurunan    harga    mendadak atas sebab-sebab yang di luar kawalan mereka. Stok penimbal getah akan diwujudkan untuk memastikan kestabilan di pasaran.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membanteras manipulasi orang tengah ke atas petani, penternak dan nelayan.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.