Dari sudut yang lain, khususnya politik, percaturan politik Malaysia selama di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional ialah berdasarkan model politik yang digelar ‘consociationalism’ yang ditentukan para elit politik mewakili kaum yang terlibat. Ia adalah politik perkauman yang sentiasa memerlukan masyarakat dibahagikan mengikut kaum untuk memastikan elit politik itu berkuasa. Apabila politik perkauman ini ditambah dengan politik agama, kesannya kepada keharmonian negara menjadi semakin parah.
Pakatan Harapan akan membangunkan dasar-dasar dan program-program yang membawa negara ini menjadi sebuah negara inklusif yang bersatu padu, dan menjaga keharmonian hidup rakyat pelbagai kaum dan agama. Kami yakin bahawa ini akan membolehkan Malaysia menjadi model seantero dunia.
Janji 49: Menjadikan sekolah-sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan terbaik untuk rakyat
Pendidikan berkualiti tinggi adalah kunci untuk membolehkan setiap daripada kita terus mara ke hadapan dalam sebuah masyarakat yang inklusif dan saksama. Kewujudan sekolah-sekolah berkualiti, baik dari aliran kebangsaan, aliran agama, mahupun sekolah- sekolah vernakular, akan membolehkan setiap seorang daripada anak-anak kita mendapatkan pendidikan yang baik agar mereka dapat mencapai potensi penuh kehidupan kelak.
Pakatan Harapan berkeyakinan bahawa sistem persekolahan yang baik adalah tanggungjawab penting kerajaan untuk rakyat. Maka untuk itu, profesion perguruan dan pendidikan wajib dijadikan profesion yang dihormati, dan tugasan mereka perlu diberi sokongan yang diperlukan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan bantuan kerajaan lebih difokuskan kepada golongan yang memerlukan, terutama golonagn B40 dan M40. Kuota kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terutama mereka daripada luar bandar dan FELDA.
Taraf pengangkutan ke sekolah-sekolah akan diperbaiki, terutamanya dengan memperbaiki kualiti jalan-jalan kampung dan memastikan keselamatan bas-bas sekolah.
Insentif yang sesuai akan diberikan supaya lebih banyak sektor swasta melibatkan diri dalam membantu memperbaiki sekolah-sekolah kerajaan melalui program usahasama antara kerajaan dan sektor swasta (public- private partnership) dan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Kami akan memperbaiki program Sekolah Amanah yang kini berjalan dengan cara yang tidak optimum. Model Sekolah Amanah kini menaikkan kos pendidikan kerana dana tambahan terpaksa dipungut daripada pelbagai pihak.
Ini adalah bertentangan dengan kefahaman umum di peringkat antarabangsa tentang konsep Sekolah Amanah yang biasanya akan menurunkan kos, bukan menaikkannya.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbetulkan model Sekolah Amanah yang wujud sekarang agar kos pembiayaan pendidikan secara keseluruhannya dapat diturunkan dengan cara membawa masuk disiplin kos yang biasanya diamalkan oleh sektor swasta. Operator yang boleh menaikkan kualiti tanpa meningkatkan kos terlalu tinggi akan dibenarkan membida untuk membantu kerajaan dalam memperbaiki kualiti sekolah-sekolah kebangsaan, sekolah aliran agama, dan sekolah vernakular, terutamannya di luar bandar dan juga sekolah-sekolah pendidikan khas.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan syarikat- syarikat milik kerajaan mempertingkat jumlah biasiswa pendidikan yang diberikan kepada golongan B40 dan M40. Biasiswa khas juga akan diwujudkan untuk guru- guru yang mahu menyambung pengajian dan latihan professional mereka.
Bebanan tugas pentadbiran guru-guru akan dikurangkan dengan dua cara. Pertama, ialah dengan mewujudkan jawatan Pembantu Pengajar (Teaching Assistant) untuk membantu guru-guru, termasuk dalam melaksanakan tugasan pentadbiran. Kedua, dengan memperbaiki akses dan kebolehgunaan sistem teknologi maklumat di sekolah-sekolah.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan diberikan dana dan kuasa yang secukupnya untuk menjalankan tugas mereka, terutamanya dalam memastikan sistem Pendidikan kita adalah kompetitif dan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Majlis ini juga akan diberi tanggungjawab menyelia kurikulum sekolah rendah dan menengah, agar ia tidak lagi dipengaruhi oleh unsur politik kepartian atau perkauman sempit. Majlis ini juga akan diberi kuasa menentukan mekanisme untuk mempertingkat penguasaan Bahasa Melayu, Bahasa Ibunda serta Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah semua peringkat, bebas daripada tekanan politik kepartian.
Menyedari pentingnya aliran teknikal dan vokasional, Kerajaan Pakatan Harapan akan membangunkan aliran teknikal dan vokasional agar ia benar-benar setaraf dengan aliran lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua. Sekolah berasrama penuh aliran TVET akan diwujudkan untuk pelajar cemerlang dari semua aliran.
Kualiti pendidikan sekolah agama, sekolah mubaligh dan sekolah jenis kebangsaan akan ditambahbaik dengan cara memastikan peruntukan yang diberikan adalah sentiasa mencukupi dan guru-guru mempunyai peluang untuk mengikuti latihan professional dengan sewajarnya. Bilangan sekolah-sekolah ini juga akan dipastikan mencukupi berdasarkan permintaan ibu bapa dan kesesuaian setempat.
Janji 50: Mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi
Pendidikan tinggi merupakan elemen penting untuk melengkapkan sistem pendidikan negara, dalam usaha membentuk masyarakat yang inklusif. Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa universiti dan institutisi pengajian tinggi awam mestilah percuma untuk semua, dan institusi-institusi ini juga mestilah mempunyai autonomi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
Pengalaman UNISEL di bawah pentadbiran kami di Selangor, yang telah memulakan pendidikan percuma berperingkat-peringkat, iaitu di sebalik terpaksa menanggung beban hutang tinggalan salah tadbir urus pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional, akan di jadikan landasan kea rah mencapai matlamat ini.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) dan Akta-akta IPT yang lain, dan menggantikannya dengan undang- undang komprehensif dan yang lebih baik, yang akan memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan terjamin, serta semua institusi pengajian tinggi awam mempunyai autonomi yang sewajarnya. Kesatuan Pelajar (Students Union) pula akan diberikan peruntukan tersendiri oleh institusi, dan mereka bebas mentadbir kesatuan sendiri, sesuai dengan amalan negara-negara maju.
Lembaga Pengarah Universiti akan diberi autonomi dan kuasa untuk memilih dan melantik Naib Canselor dan
Timbalan-Timbalan Naib Canselor berdasarkan merit dan dengan cara yang telus dan kompetitif. Lembaga Pengarah Universiti juga akan diberi kuasa menentukan penunjuk prestasi, menilai pencapaian dan menentukan tangga gaji dan ganjaran-ganjaran lain bagi pegawai- pegawai kanan universiti, serta menguruskan peruntukan kewangan yang diberi.
Aliran TVET akan diperluas dengan lebih tersusun, bermula dengan memperkembangkan aliran German Dual Vocational Training (GDVT) ke seluruh negara. Melalui skim ini, syarikat-syarikat akan diberi bayaran untuk menjalankan latihan-dalam-pekerjaan bagi penuntut aliran TVET.
Sijil UEC telah diterima untuk kemasukan ke program ijazah Sarjana Muda di universiti-universiti terkemuka di luar negara. Bermula pada tahun 2004, sijil UEC telah diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta di Malaysia. Pada tahun 2010, sijil UEC juga telah diterima untuk kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bahasa Cina) di Institut Pendidikan Guru Malaysia di bawah Kementerian Pendidikan. Namun, sehingga kini sijil UEC masih belum diiktiraf untuk kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam tempatan.
Pakatan Harapan akan mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat SPM. Untuk tujuan ini, sijil UEC akan dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.
Pakatan Harapan sedar bahawa pinjaman PTPTN kini membebankan mahasiswa. Kami akan menyusun semula struktur pembayaran pinjaman PTPTN supaya jumlah pembayaran bergantung kepada jumlah gaji peminjam. Kami akan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN bagi peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senari hitam ke atas peminjam.
Peluang biasiswa dan pinjaman pelajaran akan ditambah, terutama untuk membantu anak anak-anak muda dari keluarga B40 dan M40 menampung kos sara hidup semasa belajar. Syarikat-syarikat milik kerajaan akan memainkan peranan mereka untuk menjayakan agenda ini.
Kerajaan Pakatan Harapan akan melipatganda peluang pengajian menggunakan Massive Open Online Courses (MOOC) yang diiktiraf dan mempunyai akreditasi, agar golongan muda boleh menggunakan teknologi moden untuk menyambung pengajian dalam bidang yang diminati.
Janji 51: Membela nasib golongan OKU
Demi memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada semua rakyat secara sama rata, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membantu golongan kurang upaya. Golongan ini tidak diberi perhatian sewajarnya oleh UMNO dan Barisan Nasional dan mereka terus dipinggirkan dari arus utama kemajuan negara.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi mandat kepada Institut Sosial Malaysia untuk menjadi peneraju berpusat kajian dasar-dasar kerajaan berkaitan golongan kurang upaya secara holistik. Satu Pusat Kecemerlangan Dasar Orang Kurang Upaya akan diwujudkan dalam Institut Sosial Malaysia untuk tujuan ini, dan untuk bekerjasama dengan semua badan- badan yang bersesuaian dalam hal ini.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan peruntukan pendidikan khas di sekolah-sekolah kerajaan, terutamanya untuk melatih guru, membeli kelengkapan kelas, dan menambah bilangan tempat yang boleh disediakan. Matlamat utama ialah mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di sekolah-sekolah.
Kerajaan Pakatan Harapan akan bekerjasama dengan sektor swasta dan keusahawanan sosial untuk menyediakan lebih banyak peluang latihan teknikal dan vokasional bagi golongan istimewa.
Insentif sekaligus akan diberikan kepada syarikat- syarikat swasta untuk menyediakan kemudahan bagi golongan istimewa, dan semua jabatan kerajaan dan agensinya diwajibkan mempunyai infrastruktur yang mesra golongan istimewa.
Pusat-pusat jagaan golongan urang upaya akan diletakkan di bawah kawal selia Suruhanjaya Pertubuhan Kebajikan dan Bukan Berteraskan Keuntungan agar mereka mendapat sokongan yang sewajarnya.
Janji 52: Memerangi jenayah dan gejala sosial
UMNO dan Barisan Nasional cuba untuk meyakinkan rakyat bahawa kadar jenayah di Malaysia semakin turun. Tetapi, dakwaan ini tidak dipercayai oleh rakyat kerana setiap hari mereka membaca laporan mengenai kegiatan jenayah yang semakin berleluasa. Lebih buruk dari itu, pebagai kisah sering tersebar melalui media social tentang kegiatan jenayah yang semakin membimbangkan. Pengalaman rakyat tidak sama dengan apa yang didakwa oleh UMNO dan Barisan Nasional.
Pakatan Harapan mahukan sebuah negara Malaysia yang aman dan sejahtera, dengan pihak berkuasa, terutamanya polis, mempunyai kelengkapan dan anggota yang cukup untuk melaksanakan tanggungjawab mereka yang berat. Ini akan menjamin bahawa keamanan sentiasa terjaga, lantas memungkinkan kita menjadi model negara harmoni yang aman dan dengan kadar jenayah yang rendah.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mempertingkat peruntukan untuk Pasukan Polis DiRaja Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasa yang berkaitan, untuk menambahbaik gaji dan kualiti hidup para wira negara serta menambah bilangan anggota keselamatan.
PDRM akan diberi peruntukan yang sesuai untuk membolehkan mereka menghantar para pegawai menjalani latihan lanjut, terutamanya dalam menangani jenayah rogol dan gangguan seksual wanita dan kanak- kanak.
Kerjasama antara PDRM dengan pihak-pihak terbabit yang lain dalam menangani jenayah atas talian akan dipertingkat, iaitu dengan pendanaan dan sokongan dasar yang sewajarnya.
Agensi penguatkuasa akan diarahkan membanteras sehabis-habisnya arak dan rokok seludup yang semakin bermaharajalela, termasuk kawalan yang lebih ketat di sempadan dan hukuman yang lebih berat kepada mereka yang disabitkan bersalah.
Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mengilang, menjual atau terlibat dalam pembekalan arak murah, terutamanya ke kawasan-kawasan persisiran, luar bandar dan golongan bawah umur.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menggiatkan lagi kerjasama dengan pihak swasta dan syarikat-syarikat milik kerajaan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pendidikan anti-buli, anti-jenayah dan anti-gejala sosial di sekolah-sekolah, serta menambah bilangan kaunselor terlatih di sekolah-sekolah.
Kerajaaan Pakatan Harapan akan mempertingkat kerjasama dengan pihak NGO yang terlibat dalam pemulihan penagih dadah untuk mengurangkan kadar mereka yang kembali menggunakan dadah.
Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menggalakkan penggunaan langkah-langkah pengurangan kemudaratan (harm reduction) dalam menangani gejala penagihan dadah dan mengurangkan penyakit.
Janji 53: Mendokong keutuhan institusi keluarga dan kejiranan
Institusi kekeluargaan dan kejiranan adalah tulang belakang ketamadunan bangsa dan negara kita. Agama Islam dan semua agama yang diamalkan di negara kita jelas menuntut agar keutamaan diberikan kepada keluarga dan jiran-jiran. Malangnya, statistik menunjukkan bahawa berlaku satu perceraian dalam setiap 15 minit di negara kita. Ia satu angka yang jelas amat membimbangkan, dan mencerminkan betapa UMNO dan Barisan Nasional telah alpa dalam menjaga kepentingan institusi keluarga dan kejiranan.
Pakatan Harapan mahu mengembalikan suasana masyarakat Malaysia penyayang antara sesama keluarga, dan saling hormat-menghormati antara jiran tetangga tanpa mengira latar belakang. Inilah budaya sebenar masyarakat Melayu-Islam dan kaum-kaum lain di negara ini. Kami menolak politik perkauman sempit yang dieksploitasi oleh UMNO dan Barisan Nasional untuk kepentingan mereka. Kami akan berusaha mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia pelbagai kaum dan agama yang harmoni.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengiktiraf nilai institusi keluarga dalam sistem percukaian negara. Langkah segera yang akan kami lakukan ialah dengan membolehkan pelepasan cukai pendapatan dipindahkan antara suami dan isteri (transferable tax allowance) dengan kadar yang lebih tinggi. Di samping itu, kami juga akan memperkenalkan pelepasan cukai pendapatan untuk pasangan yang berkahwin (married couple allowance).
Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi perhatian terhadap impak pembangunan kepada institusi keluarga. Kami akan memastikan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi disebarluas ke seluruh negara dan tidak bertumpu di bandar-bandar besar sahaja. Ini bagi mengurangkan penghijrahan yang jauh dari keluarga.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan penganjuran aktiviti kejiranan dan mewujudkan lebih banyak ruang dan taman awam agar aktiviti berkenaan lebih mudah dianjurkan.
Pelapasan cukai korporat akan diberikan kepada aktiviti-aktiviti syarikat yang menyumbang kepada pengukuhan institusi keluarga. Aktiviti-aktiviti yang layak mendapat pelepasan cukai akan ditentukan melalui konsultasi dengan Malaysian Employers Federation (MEF) serta pertubuhan-pertubuhan yang sesuai.
Janji 54: Memperkasa institusi kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawanan sosial
Badan-badan kemasyarakatan, masyarakat sivil dan keusahawan social adalah elemen penting dalam sebuah negara moden. Badan-badan sebegini mempunyai sejarah yang panjang dalam tamadun Islam dan juga dalam tamadun Asia. Mereka memainkan peranan penting sebagai pelengkap kepada peranan kerajaan untuk membantu rakyat.
Pakatan Harapan beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang membolehkan pertubuhan- pertubuhan ini berkembang lebih luas, agar kita menjadi contoh kepada rantau ASEAN.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mempermudah proses penubuhan badan kebajikan, yayasan dan pertubuhan bukan kerajaan yang sah. Struktur yang wujud kini, seperti persatuan, syarikat berhad mengikut jaminan, badan pemegang amanah dan lain-lain akan dikaji semula supaya satu struktur yang lebih terangkum dapat diwujudkan, agar proses penubuhan badan- badan kebajikan dan NGO menjadi lebih mudah.
Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memastikan proses untuk badan-badan kebajikan mendapat pengecualian cukai menjadi lebih telus, lebih mudah dan bebas daripada salah guna kuasa politik.
Untuk tujuan itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Suruhanjaya Pertubuhan Kebajikan dan Bukan Berteraskan Keuntungan (Charities and Non- Profit Organisations Commission) yang akan mengambil alih peranan Pendaftar Pertubuhan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dalam penyeliaan pertubuhan kebajikan.
Janji 55: Mempelbagai ruang aktiviti golongan muda
Anak muda Malaysia semakin aktif dalam pelbagai kegiatan, baik yang berbentuk rekreasi, mahupun kerja-kerja kebajikan dan sosial. Ini adalah satu perkembangan yang positif kerana ia menyumbang secara langsung kepada pembentukan budaya inklusif, moderat dan positif dalam masyarakat kita.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mendokong aktiviti kemasyarakatan, sukan dan kebajikan yang dijalankan oleh anak muda.
Kami akan menjamin kebebasan untuk aktivisme anak muda, serta menggalakkan pertumbuhan badan- badan sosial, kebajikan dan aktiviti intelektual awam yang diterajui anak muda. Perpustakaan negeri dan daerah serta dewan-dewan orang ramai akan dibuka untuk kegunaan anak muda dengan lebih meluas.
Ruang-ruang awam seperti taman-taman rekreasi dan kemudahan sukan awam akan diperbanyakkan. Kerjasama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan- kerajaan negeri akan dipereratkan lagi untuk membina dan seterusnya menyelenggara dengan baik kemudahan-kemudahan ini. Proses untuk anak muda menyewa stadium-stadium dan kemudahan- kemudahan sukan milik kerajaan akan dipermudahkan dan kosnya dipastikan rendah.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan pertumbuhan sektor keusahawanan di kalangan anak muda.
Kementerian-kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan akan diarhkan memberi tumpuan dan bantuan yang diperlukan untuk memastikan usahawan- usahawan muda dapat berjaya dalam perniagaan yang ceburinya.
Janji 56: Menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian rakyat
Sebagai langkah pertama dalam memposisikan Malaysia di peringkat global sebagai model negara moderat yang berjaya menjaga keharmonian antara kaum dan agama, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat (MPKR).
Antara peranan MPKR ialah:
- Mengkaji dan mencadangkan dasar-dasar dan program-program yang boleh meningkatkan perpaduan dan integrasi serta menghapuskan diskriminasi daripada budaya kehidupan kita.
- Mengkaji dan memperbaiki sistem pendidikan negara, memastikan wujudnya pendedahan awal tentang hubungan antara kaum dan agama kepada para pelajar di semua peringkat.
- Menjadi medan percambahan fikiran, perundingan dan rekonsiliasi antara kaum dan agama.
- Membangunkan pemikiran politik baru yang tidak lagi berpaksikan perpecahan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.
- Mengkaji dan mengusahakan mekanisme untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia baru yang mengamalkan model politik berteraskan centripetalism, iaitu sistem yang berteraskan prinsip pertengahan atau moderat serta menolak ekstrimisme.
- Memimpin usaha menggubal Akta Keharmonian Nasional untuk menjamin kesaksamaan, menghapuskan diskriminasi dalam semua aspek, dan menjadikan penyebaran kebencian antara kaum dan agama sebagai satu jenayah, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
MPKR akan dianggotai oleh mereka yang pakar dalam bidang hubungan antara kaum dan agama serta dihormati oleh semua pihak.
Janji 57: Menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuahnya
Kerajaan Pakatan Harapan akan memerangi najis rasuah dengan habis-habisan. Pesalah-pesalah rasuah akan dihukum dengan tegas. Ini penting agar kita dikenali sebagai negara yang bersih dan berintegriti dalam indeks-indeks tadbir urus antarabangsa termasuklah Corruption Perception Index dan Global Corruption Barometer.
Pakatan Harapan akan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari Najis Rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan. Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International, menjelang tahun 2030.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan peruntukan yang sewajarnya kepada Institut Integriti Malaysia untuk memastikan ia boleh melaksanakan Pelan Integriti Nasional dengan sepenuhnya. Laporan Pelan Integriti Nasional akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun.
Institut Integriti Malaysia akan diberikan mandat yang lebih luas untuk menerapkan integriti dalam pentadbiran kerajaan dengan lebih bersepadu dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Untuk membolehkan Institut ini memainkan peranan yang sewajarnya, Timbalan Perdana Menteri akan mengambil alih peranan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Institut.
Janji 58: Mempertahankan sempadan negara daripada pencerobohan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia
UMNO dan Barisan Nasional berterusan gagal mempertahankan sempadan darat dan laut negara, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.
Di Semenanjung, para nelayan di Selat Melaka dan Laut Cina Selatan kerap diancam. Malahan, bot-bot nelayan dari negara asing juga ada yang menceroboh perairan kita. Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah sumber dan kapasiti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia agar perkara ini boleh diperbaiki. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menggunakan platform ASEAN untuk mengusahakan penyelesaian tuntas dengan negara-negara serantau.
Kapal-kapal asing dilaporkan bertapak di perairan Sarawak. Rakyat Sabah pula terus bimbang tragedi Lahad Datu akan berulang. Negeri Perlis pula telah menyaksikan tragedi Wang Kelian, iaitu di mana kubur mangsa pemerdagangan manusia telah ditemui. Manakala di seluruh negara, masalah penyeludupan barangan terus menerus tidak dapat dihentikan. Semua ini adalah contoh betapa UMNO dan Barisan Nasional gagal menjaga kedaulatan negara, yang mana sebahagian daripadanya adalah akibat daripada barah rasuah yang berleluasa.
Kerajaan Pakatan Harapan berpegang dengan prinsip bahawa sempadan negara dan kedaulatan Malaysia adalah perkara paling asas yang tidak boleh dikompromi. Kami akan melipatgandakan usaha diplomatik dan mempercepatkan rundingan bilateral antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina agar masalah ini boleh diselesaikan dengan tuntas.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan bertolak ansur dalam soal integriti agensi penguatkuasa.
Demi menjamin keselamatan rakyat dan kedaulatan negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi tumpuan dan keutamaan kepada proses pengawalan sempadan negara dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang melakukan kesalahan tanpa mengira kedudukan mereka.
Janji 59: Memimpin usaha menyelesaikan konflik Rohingya dan Palestin
Apabila berhadapan dengan krisis Rohingya dan Palestin, UMNO dan Barisan Nasional hanya berlakon sahaja. Tiada tindakan khusus yang benar- benar mereka ambil untuk menjuarai suara saudara- saudara kita yang tertindas di sana. Malahan, UMNO dan Barisan Nasional berterusan tidak mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian yang akan membolehkan kita membantu saudara-saudara kita dengan lebih bermakna.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mendepani usaha negara-negara serantau untuk menyelesaikan konflik Rohingya di Myanmar, dan membawa konflik ini untuk penyelesaian antarabangsa dengan suara yang lebih kuat, bukan semata-mata dengan menganjurkan tunjuk perasaan palsu untuk meraih faedah politik jangka pendek.
Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membawa suara Palestin dengan lebih aktif ke peringkat OIC dan PBB agar penyelesaian muktamad dapat dicapai.
Kerajaan Pakatan Harapan akan meratifikasi Kovensyen Antarabangsa Mengenai Pelarian 1951 agar pelarian yang datang ke Malaysia untuk meyelamatkan diri dapat diberi bantuan sewajarnya.
Janji 60: Memartabatkan peranan Malaysia dalam institusi antarabangsa
Kerajaan Pakatan Harapan akan melibatkan negara secara rasmi dalam rangkaian-rangkaian tadbir urus baik (good governance), bermula dengan Open Government Partnership yang merupakan platform antarabangsa tentang keterbukaan dan ketelusan kerajaan.
Oleh kerana Malaysia mempunyai bilangan syarikat milik kerajaan yang besar, maka, Kerajaan Pakatan Harapan akan turut melibatkan diri secara rasmi dalam rangkaian tadbir urus syarikat milik kerajaan yang dikelolakan oleh badan-badan antarabangsa seperti OECD.
Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengadaptasi kerangka kerjasama antara kerajaan dan masyarakat sivil berdasarkan piawaian antarabangsa, terutamanya yang berkaitan dengan ketelusan dan akauntabiliti, seperti Open Contracting Partnership, Open Budget Initiative, piawaian-piawaian yang sesuai daripada OECD dan Bank Dunia, dan lain-lain lagi.
Kerajaan Pakatan Harapan meyakini bahawa Malaysia boleh menjadi pemimpin negara-negara membangun, terutamanya negara-negara umat Islam. Usaha akan dimulakan untuk membolehkan tokoh Malaysia memegang sekali lagi jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) seperti mana yang pernah dilakukan oleh Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Peranan kita akan diperaktifkan dalam ASEAN, terutamanya dalam mencorakkan dan mempercepatkan proses pembentukan komuniti ekonomi, komuniti politik dan keselamatan, dan komuniti sosio-budaya ASEAN. Penekanan utama akan diberikan kepada pembentukan komuniti ekonomi yang efektif, dan Malaysia akan memainkan peranan lebih aktif dalam badan serantau seperti Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA).
Wisma Putra akan diberi peruntukan untuk mempertingkat kapasiti pejabat Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR). Ini akan membolehkan kita memainkan peranan lebih besar di peringkat serantau.
Pentadbiran Pakatan Harapan akan memperkasa Wisma Putra dengan dasar luar yang bernas dan kumpulan diplomat yang cekap untuk membolehkannya mengemudi penglibatan Malaysia yang efektif dan dikagumi masyarakat antarabangsa. Kami menyasarkan agar warga Malaysia akan dilantik menjadi pegawai- pegawai kanan di Sekretariat ASEAN di Jakarta dan juga Sekretariat Komanwel di London dalam penggal pertama pentadbiran Pakatan Harapan.
Kerajaan Pakatan Harapan mengalu-alukan kebangkitan Asia dan akan meneruskan hubungan diplomatik dan ekonomi yang sihat dengan menjalin hubungan baik dengan semua negara seluruh dunia berteraskan prinsip berkecuali (non-aligned).
Pada waktu yang sama, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengembalikan status Malaysia sebagai negara berkecuali (non-aligned). Kami akan memposisikan Malaysia sebagai kuasa pertengahan (middle power) yang berpengaruh. Di samping itu, Malaysia akan menjadi rakan kongsi aktif dalam menjayakan program-program antarabangsa seperti Sustainable Development Goal 2030 (SDG2030).
-Manifesto HARAPAN


0 comments:
Post a Comment