Tetapi hari ini FELDA telah dirompak oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang tamak haloba. Harta milik FELDA ditukar milik dengan sewenang-wenangnya. Tadbir urus FELDA sebagai sebuah syarikat milik kerajaan adalah amat memalukan, sehingga Ahli Lembaga Pengarah berlepas diri dengan mengatakan mereka tidak tahu apa yang berlaku.
Tatkala berbilion-bilion ringgit harta milik FELDA hilang ke tangan orang lain dan kroni-kroni hidup kaya raya, nasib peneroka FELDA dan ahli keluarga mereka semakin tidak terbela. Jumlah hutang mereka meningkat hingga berratus-ratus ribu ringgit akibat kegagalan pengurusan FELDA itu sendiri. Generasi kedua dan ketiga FELDA kini merasakan sukar untuk hidup di kawasan FELDA kerana peluang pekerjaan yang tidak menentu dan prasarana yang tidak mencukupi. Cabaran gejala sosial pula semakin berleluasa di kalangan anak-anak muda.
Iltizam 1: Menghentikan penyelewengan dalam FELDA di semua peringkat
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil tindakan segera untuk membela nasib peneroka FELDA dan anak cucu mereka. Kami akan memastikan para pemimpin politik dan kroni-kroni akan dibawa ke muka pengadilan supaya mereka menerima balasan yang setimpal dengan amanah yang telah di khianatinya. Sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja akan ditubuhkan untuk membedahsiasat FELDA secara keseluruhannya, dan mengenalpasti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengembalikan semula maruah dan kegemilangan FELDA seperti yang diimpikan oleh Almarhum Tun Abdul Razak. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan menyiasat semua kontrak dan perjanjian yang ditandatangani oleh FELDA, terutamanya yang membabitkan korporat kroni UMNO dan Barisan Nasional.
Sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanan Suruhanjaya Siasatan DiRaja berkenaan. Sebagai langkah jangka panjang, Jawatankuasa Khas Kabinet ini juga agar diberi tanggungjawab mendengar secara langsung keluhan warga FELDA, mengenalpasti masalah-masalah yang mereka hadapi, serta mengkoordinasi penyelesaian yang perlu diambil oleh agensi-agensi kerajaan untuk mempertingkat kualiti kehidupan warga FELDA.Harta dan aset-aset FELDA yang diselewengkan akan diambil kembali melalui proses undang-undang yang sah.
Peneroka hari ini tidak mempunyai hak untuk menuntut keadilan melalui proses yang seimbang. Ini kerana mereka hanya boleh membawa aduan ke Jawatankuasa Timbang Tara seperti yang diperuntukkan dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok)
1960. Jawatankuasa ini pula selalu membuat keputusan yang berat sebelah kerana ia tidak bebas daripada pengaruh eksekutif. Untuk mengembalikan keadilan kepada peneroka, Kerajaan Pakatan Harapan akan meminda akta ini agar peneroka boleh membawa kes mereka ke mahkamah.
Iltizam 2: Menyusun semula tadbir urur FELDA
FELDA akan disusun semula untuk membolehkan mereka memberi fokus kepada perniagaan teras FELDA, iaitu sektor perladangan, demi kesejahteraan peneroka dan keluarga mereka.
Struktur pemilikan FELDA juga akan diteliti untuk memastikan ia tidak hilang arah dan kebajikan peneroka sentiasa terpelihara melalui konsep perkongsian keuntungan yang adil.
Sistem pentadbiran FELDA akan dirombak agar suara peneroka boleh didengar secara rasmi di peringkat tertinggi pengurusan, dan memberhentikan lantikan berdasarkan kaitan politik ke dalam Lembaga Pengarah FELDA dan anak-anak syarikatnya.
Masalah yang sering dihadapi oleh peneroka ialah pengurusan ladang mereka oleh anak syarikat FELDA semasa musim penanaman semula dan pengurusan hutang peneroka yang amat mengecewakan. Kerajaan Pakatan Harapan akan serta merta mengkaji mekanisme untuk memastikan penambahbaikan mutu pengurusan ladang dan pengurusan hutang, menghapuskan orang tengah yang tidak perlu, lantas memastikan manfaat yang maksimum untuk peneroka.
Jawatan Pengerusi FELDA terutamanya akan diberikan kepada individu yang mempunyai pengalaman yang relevan dan beramanah.
Iltizam 3: Membela nasib peneroka FELDA dan mengurangkan bebanan hutang mereka
Anak-anak FELDA yang berkelayakan akan diberi keutamaan dalam pelantikan ke jawatan- jawatan yang sesuai dalam FELDA di semua peringkat dan dalam semua anak syarikat.
Sekiranya kemasukan peneroka baru ke skim FELDA akan dibuka semula, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkhaskan kemasukan tersebut untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera berpendapatan rendah sahaja.
Wang sara hidup untuk peneroka semasa penanaman semula akan dinaikkan sehingga jumlah maksimum RM2,000 sebulan sekiranya diperlukan oleh peneroka. Pada waktu yang sama, untuk memastikan peneroka tidak terjebak dalam keberhutangan yang melampaui keperluan, program pendidikan pengurusan kewangan akan diperkenalkan untuk menggalakkan peneroka mengambil pinjaman wang sara hidup dalam jumlah yang perlu dan mampu dibayar semula sahaja.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pembayaran hasil ladang dibayar kepada peneroka dalam jangka masa kurang daripada 45 hari setelah hasil dipungut, iaitu lebih cepat berbanding apa yang dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional sekarang.
Dividen yang diperolehi daripada pelaburan FELDA dan anak-anak syarikat FELDA akan digunakan untuk mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa ditanggung oleh warga FELDA, termasuklah hutang tanam semula, hutang membaiki rumah, hutang membeli rumah, hutang “pendahuluan hasil” dan lain- lain lagi. Matlamat kami ialah untuk melupuskan hutang- hutang ini dengan seberapa segera, melalui langkah- langkah yang sesuai, termasuklah pelupusan 50 peratus daripada hutang sedia ada dan memperkenalkan skim pinjaman tanpa riba.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi keutamaan kepada generasi kedua dan ketiga FELDA yang mahu membeli atau menyewabeli rumah mampu milik yang dibina oleh kerajaan atau syarikat-syarikat milik kerajaan di seluruh negara. Ini bertujuan membolehkan mereka mengakses peluang pekerjaan yang lebih luas, dan tidak terikat dalam kawasan FELDA sahaja, sesuai dengan wawasan untuk membolehkan mereka naik lebih tinggi dalam struktur sosio-ekonomi negara.
Iltizam 4: Memodenkan dan menaiktaraf kawasan-kawasan FELDA
Sebahagian lagi daripada dividen yang diperolehi daripada pelaburan FELDA dan anak-anak syarikat FELDA akan digunakan ntuk membina Bandar- Bandar Baru FELDA dan perumahan generasi kedua yang lengkap dengan kemudahan asas, internet dan fasiliti rumah kedai untuk mencipta peluang keusahawanan.
Kemudahan aktiviti remaja dan anak muda juga akan disediakan, termasuklah menambah latihan kemahiran untuk mereka.
Kerajaan Pakatan Harapan akan membina jaringan infrastuktur yang baik untuk menghubungkan gugusan- gugusan FELDA dengan pekan-pekan dan bandar- bandar terdekat, untuk memastikan akses kepada peluang pekerjaan yang lebih luas bagi anak-anak muda.
Iltizam 5: Memberi peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka FELDA
Kementerian Pelajaran, dengan kerjasama FELDA dan anak-anak syarikatnya, akan diarahkan untuk bertindak segera memastikan sekolah-sekolah dalam kawasan FELDA mempunyai peralatan mengajar yang secukupnya.
Kerajaan Pakatan Harapan akan menetapkan kuota khas bagi anak-anak FELDA di sekolah-sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Kuota keutamaan juga akan diwujudkan di kolej-kolej kemahiran dan universiti-universiti awam untuk anak- anak FELDA.
Peluang biasiswa bagi anak-anak peneroka FELDA akan ditambah dan ia tidak terhad daripada peruntukan FELDA sahaja. Insentif akan diberikan untuk syarikat milik kerajaan dan penaja-penaja lain untuk memberi biasiswa dan bantuan pendidikan kepada anak-anak FELDA.
Skim latihan teknikal dan vokasional akan diperluaskan untuk anak-anak FELDA, terutamanya dalam bidang agro-pelancongan sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempelbagai sumber pendapatan setiap generasi warga FELDA.
Semua ini akan menyumbang ke arah membuka peluang lebih cerah untuk anak-anak peneroka FELDA, dan seterusnya membantu menyelesaikan cabaran- cabaran gejala sosial di kalangan anak muda warga FELDA sekarang.


0 comments:
Post a Comment