Iltizam Pakatan Harapan Khusus Untuk Anak Muda

Leave a Comment

PRU14 | Anak-anak muda Malaysia, baik lelaki mahupun wanita,  telah  menunjukkan  kebolehan  mereka  baik di peringkat nasional, serantau mahupun global. Kita mempunyai anak-anak muda yang menjadi juara dalam bidang sukan, kesenian, lakonan, perniagaan, sains dan teknologi, kebajikan, dan pelbagai lagi. Merekalah pewaris bangsa yang akan meneruskan kesinambungan negara.

Pakatan  Harapan  yakin  bahawa  anak-anak  muda perlu diberikan ruang untuk mengasah bakat masing- masing dan segala kongkongan perlu dihapuskan. Untuk membolehkan potensi anak-anak muda dijana sepenuhnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan  tindakan-tindakan  spesifik melalui  lima teras utama berikut.

1. Memastikan adanya lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang selayaknya

2. Mengurangkan bebanan kos sara hidup

3.  Membina lebih banyak rumah selesa yang mampu dimiliki oleh anak muda

4.   Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma

5.   Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja

Iltizam 1: Memastikan adanya lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang selayaknya

1.   Mencipta 1 juta pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan untuk anak muda dalam masa 5 tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.

2.   200,000 pekerjaan yang akan dicipta itu akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak

3.   Menginstitusikan pemerkasaan anak muda melalui Dana Pemerkasaan dan Keusahawanan Anak Muda yang akan diberi peruntukan sebanyak RM 1 bilion setiap tahun. Dana ini boleh digunakan untuk membangunkan keupayaan anak muda terutama dalam sektor-sektor berikut:

a. Pertanian dan penternakan moden

b. Pembangunan pelancongan-eko di kawasan separa bandar dan luar bandar

c. Kesenian dan industri kreatif

d.  E-sukan termasuk penghasilan permainan video dan bidang-bidang teknologi yang lain

e.   Pengkomersialan platform media sosial, termasuk vlogger, influencer media sosial, dan penghasilan kandungan media sosial.

4.   Memperkenalkan dasar-dasar pentadbiran yang membolehkan setiap anak muda mencapai potensi penuh mereka.

5.   Oleh kerana ramai anak muda menggunakan motorsikal untuk ke tempat kerja, Kerajaan Pakatan Harapan akan membina lebih banyak lorong motosikal, tempat berteduh dan infrastruktur lain yang diperlukan.

Iltizam 2: Mengurangkan bebanan kos sara hidup

1.  Memansuhkan GST dan tol agar anak muda tidak terbeban dalam perbelanjaan seharian.

2.   Menstabilkan harga petrol bagi mengembalikan wang anak muda ke poket mereka.

3.   Memperluas skim bantuan kesihatan seperti Skim Peduli Sihat yang kini dijalankan di Selangor, ke seluruh negara.

4. Peruntukan subsidi kesihatan RM500 untuk anak muda yang mempunyai pendapatan isirumah di bawah RM3,000 sebulan.

5.  Menurunkan kos internet jalur lebar ke paras separuh daripada sekarang, dan pada masa yang sama, mempertingkat kelajuannya sebanyak dua kali ganda, agar peluang yang lebih luas dapat dinikmati oleh anak muda.

6.   Memastikan akses internet berkelajuan tinggi ke semua pekan dan kampung di seluruh negara.

7.   Membatalan caj pembaharuan lesen motorsikal kepada anak-anak muda.

8.   Menambah sekurang-kurangnya 10,000 buah bas pengangkutan awam seluruh negara bagi memperbaiki keterhubungan pengangkutan awam.

9. Memperkenalkan kad pengangkutan awam bulanan bernilai RM100 dengan penggunaan tanpa had untuk apa sahaja bentuk pengangkutan awam intra-bandar di Lembah Kelang dan di semua bandar di Malaysia.

10.  Memperkenalkan   Insentif   Perkahwinan   Anak Muda sebanyak RM500 setiap pasangan bagi mereka yang berumur di bawah 35 tahun pada perkahwinan pertama mereka, seperti yang sedang kami laksanakan di Selangor sekarang.

Iltizam 3: Membina lebih banyak rumah selesa yang mampu dimiliki oleh golongan muda

1. Membina 1 juta rumah mampu milik di seluruh negara dalam tempoh dua penggal pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan.

2.  Memperkembang skim sewa-beli ke seluruh negara, termasuklah bagi rumah-rumah yang dibina oleh pemaju swasta.

3.   Mewujudkan skim khas untuk membolehkan anak muda mengakses pinjaman perumahan untuk rumah pertama dengan lebih mudah.

4.  Mengambil alih skim penyelenggaraan di kawasan perumahan kos rendah demi mengurangkan bebanan penduduk.

Iltizam 4: Memberikan peluang pendidikan berkualiti yang percuma

1.  Menjamin pendidikan awam percuma yang lebih baik di setiap peringkat, bermula di pra-sekolah, sekolah rendah, menengah dan juga pendidikan tinggi.

2.  Memberi elaun sara hidup kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang mendapat tempat ke pusat pengajian tinggi awam.

3.    Memansuhkan  Akta  Universiti  dan  Kolej  Universiti (AUKU).

4. Memupuk pemikiran kreatif, kritis dan analitis generasi muda serta mempersiapkan mereka dengan kemahiran sosial, sivik dan kepimpinan.

5. Membebaskan guru-guru daripada bebanan birokrasi supaya mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugas mereka mendidik generasi masa depan Malaysia.

6.  Memperluas program intervensi awal berkualiti tinggi untuk kanak-kanak kelainan upaya.

7. Menyediakan biasiswa bagi anak muda dari keluarga peneroka FELDA untuk tujuan pendidikan menengah dan pendidikan tinggi.

8.  Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

9.   Memperluas aliran TVET dengan lebih tersusun, bermula dengan memperkembangkan aliran German Dual Vocational Training (GDVT) ke seluruh negara. Melalui skim ini, syarikat-syarikat akan diberi bayaran untuk menjalankan latihan-dalam-pekerjaan bagi penuntut  aliran  TVET  agar  lebih  ramai  anak  muda mendapat faedah.

Iltizam 5: Meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi agar wujud keseimbangan kehidupan dan kerja

1. Menawarkan   siaran   percuma   melalui RTM semua liga sukan utama seluruh dunia, termasuk Liga Perdana Inggeris, untuk pasukan yang diminati ramai.

2. Membina   laluan   basikal   di   bandar-bandar seluruh Malaysia melalui kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.

3. Membina  100  lagi  kawasan  rekreasi  hijau  di seluruh negara, termasuk sekurang-kurangnya 10 taman air dan sukan lasak.

4. Membina   litar   lumba   di   kawasan-kawasan tertentu bagi membantu anak muda yang gemarkan sukan bermotor untuk berlumba dengan selamat.

5. Membina “stadium” e-sukan dengan infrastruktur yang lengkap bagi membantu anak muda yang berpotensi untuk memajukan diri dalam bidang terbabit.

6. Memberi sokongan untuk pembangunan infrastruktur sukan eko seperti memanjat gunung, berbasikal rentas desa, perlumbaan berhalangan dan sukan-sukan lain sukan yang sesuai di kawasan-kawasan terpilih di seluruh negara.

7. Menggalakkan perkembangan kegiatan seni dengan mencontohi kejayaan George Town Festival di Pulau Pinang dalam mengadakan festival kesenian peringkat negeri yang inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.