Pakatan HARAPAN berjanji merancak pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama

Leave a Comment

PRU14 | Malaysia pernah menikmati pertumbuhan ekonomi sehingga 8-9 peratus setahun tetapi kini kadar pertumbuhan itu telah turun. Lebih buruk lagi, jurang ketidaksamarataan juga semakin buruk, dengan golongan kaya bertambah kaya tetapi rakyat biasa menghadapi kesukaran. Golongan 20 peratus teratas boleh hidup dengan selesa, tetapi, golongan pekerja, rakyat marhaen dan mereka yang berada dalam kelompok B40 tidak mengecapi nikmat yang sama.

Walaupun negara semakin membangun, tetapi hanya golongan tertentu sahaja yang merasai faedahnya. Malahan ada pemimpin tertinggi negara yang memiliki kemewahan di luar jangkaan dan jauh berbeza daripada realiti yang dihadapi oleh rakyat biasa.

Situasi ini perlu diperbetulkan. Ketidaksamarataan yang keterlaluan boleh membawa kepada kepincangan hubungan antara sesama rakyat dan menjejaskan keharmonian. Pada waktu yang sama, pembangunan negara juga mestilah berjalan secara mapan demi memastikan kita boleh mewariskan alam sekitar yang terjaga kepada generasi akan datang.

Pakatan Harapan akan mereformasi struktur ekonomi negara agar keyakinan dan kredibiliti akan dapat dikembalikan, serta seluruh rakyat beroleh faedah daripada pembangunan.

Cara terbaik untuk merangsang ekonomi ialah dengan mengembalikan wang rakyat ke dalam poket rakyat sendiri, bukan ke dalam poket golongan kroni atau golongan terkaya sahaja. Rakyat yang mempunyai wang   sendiri   akan   berbelanja   untuk   menampung dan memperbaiki kehidupan masing-masing, lantas menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi domestik, mencipta peluang pekerjaan baru dan menarik lebih banyak pelaburan. Inilah bentuk pertumbuhan ekonomi yang akan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

Pakatan Harapan berpegang pada prinsip bahawa taraf kehidupan rakyat perlu dipertingkatkan dan kekayaan negara mestilah dikongsi secara adil dan saksama demi menurunkan kadar ketidaksamarataan dalam negara. Ini akan memastikan rakyat seluruhnya boleh menikmati pendidikan yang berkualiti, latihan yang baik, pekerjaan yang dibanggakan, dan perumahan serta khidmat kesihatan yang setimpal.

Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan ekonomi negara dipacu oleh inovasi terkini oleh rakyat kita, dan kami akan memperkenalkan dasar dan pentadbiran yang menggalakkan usahawan untuk berjaya, terutamanya usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara. Dasar-dasar yang menjurus ke arah ekonomi berdaya saing yang terbuka, menggalakkan pelaburan  dan  berproduktiviti  tinggi  akan  menjadi teras pentadbiran kami supaya pihak pembekal dan pengeluar perlu bersaing dalam memastikan harga barangan lebih rendah tetapi kualiti terus meningkat.

Janji 30: Memajukan ekonomi Bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa

Pakatan Harapan akan memastikan pertumbuhan ekonomi negara berjalan lebih rancak agar warga Bumiputera dan semua rakyat Malaysia mendapat faedah yang saksama. Kami akan mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang ekonominya terbuka, menarik minat pelabur asing serta syarikat gergasi dunia untuk melabur, dan menggalakkan syarikat tempatan melabur ke luar negara.

Di peringkat dalam negeri, fokus utama kami ialah untuk memajukan industri kecil dan sederhana (IKS) kerana sektor ini memberi pekerjaan kepada lebih daripada 65 peratus rakyat Malaysia. Visi kami ialah sektor IKS yang boleh bersaing di peringkat ASEAN dan juga memainkan peranan aktif dalam rangkaian nilai global (global value chain), serta menyumbang dalam Revolusi Industri 4.0.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi sokongan berterusan dalam semua aspek kepada pengusaha IKS Bumiputera dan juga pengusaha IKS lain yang layak. Mereka yang berkebolehan untuk berkembang ke luar negara akan diberi bantuan modal dan teknologi yang sewajarnya. Kepentingan IKS akan sentiasa dijamin dalam semua perjanjian perdagangan antarabangsa, bukan menjaga kantung syarikat besar dan kroni sahaja.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi lebih banyak penumpuan kepada pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera agar akan wujud sebuah bangsa yang boleh berdikari dan bersaing secara sihat di serata dunia.

Untuk memastikan iltizam kerajaan yang berterusan dalam membantu warga Bumiputera, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera terkini agar ia menjadi penanda aras yang tepat dalam usaha mencapai matlamat peningkatan ekuiti Melayu dalam pasaran.

Laporan ini akan dibentangkan di Parlimen dalam setiap Ucapan Belanjawan Menteri Kewangan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan mengangkat kedudukan badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan status ekonomi Melayu dan Bumiputera, seperti Majlis Perundingan Melayu atau badan-badan lain, sebagai rakan dialog rasmi kerajaan.

Melalui reformasi ekonomi yang holistik ini, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kita mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebagai menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia   yang   yakin,   diterapkan   oleh   nilai   moral dan etika yang kuat, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan toleran, penyayang, ekonomi yang adil dan saksama, progresif dan makmur, dan memiliki sepenuhnya ekonomi yang kompetitif, dinamik, teguh dan berdaya tahan.

Janji 31: Merangsang pelaburan serta mempermudah proses perniagaan dan perdagangan

Penyertaan  strategik  negara  dalam  rantaian nilai dan produk serantau seperti ASEAN, dan global, seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), dan perjanjian-perjanjian perdagangan bilateral dan multilateral yang lain akan dilaksanakan dengan tersusun, agar lebih ramai pengusaha Bumiputera dan para peniaga Malaysia berpeluang menceburi pasaran antarabangsa.

Rundingan bilateral dengan Kesatuan Eropah dan negara-negara lain akan dijayakan supaya barangan dan usahawan kita boleh memasuki pasaran baru, di samping menarik pelaburan asing yang berkualiti.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menggalakkan pelaburan berterusan dari negara China dan negara- nagara Asia yang lain, setelah semua perjanjian projek mega yang diumumkan sebelum ini diteliti semula untuk memastikan tiada salah laku dan rasuah. Matlamat kami ialah untuk memastikan dana dari negara China adalah pelaburan bermutu tinggi yang faedahnya dapat dikongsi bersama oleh semua rakyat, terutamanya kaum Bumiputera dan para peniaga IKS semua bangsa, bukan dibolot oleh mereka yang berkepentingan sahaja atau meningkatkan hutang negara ke tahap yang tidak bertanggungjawab.

Dewan-dewan perniagaan dan persatuan serta rangkaian perniagaan akan diberi akses terus ke Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi berkaitan agar mereka boleh mempertemukan ahli-ahli mereka dengan pemodal, pelabur dan pemberi pinjaman dalam semua sektor.

Malaysia Productivity Corporation (MPC) akan diberi dana dan bidang kuasa yang lebih luas untuk membolehkan mereka memperluas Amalan Kawal Selia Baik (Good Regulatory Practice) dan mengurangkan bebanan regulasi yang tidak diperlukan (reducing unnecessary regulatory burden) dalam semua aspek yang berkaitan, agar ekonomi kita menjadi lebih kompetitif dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan. Kapasiti mereka sebagai secretariat PEMUDAH akan diperkukuh agar keberkesanannya boleh dipertingkatkan. Peruntukan juga akan diberikan agar mereka boleh menjalankan kajian segera untuk mengenalpasti peraturan-peraturan yang diperkenalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional yang membelenggu produktiviti dengan tujuan agar peraturan berkenaan dimansuhkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan merangsang pertumbuhan sektor ekonomi baru (new economy), ekonomi perkongsian (sharing economy), sektor penyelidikan dan pembangunan (research and development), serta memperkukuh perlindungan harta intelek agar syarikat-syarikat boleh melabur dalam aktiviti inovasi dengan lebih rancak.

Pakatan   Harapan   berkeyakinan   bahawa   negara kita telah tiba ke tahap yang mana pembangunan seterusnya hanya boleh dicapai jika kita meningkatkan produktiviti dan bukan dengan hanya menarik pelaburan semata-mata. Hakikatnya, produktiviti Malaysia telah menjadi lebih rendah akibat kelemahan Najib, yang mana Produktiviti Faktor Keseluruhan (Total

Productivity Factor) secara purata hanyalah 1.8 peratus sahaja, berbanding sekitar 2.2 peratus di Hong Kong, Korea Selatan dan Singapura.

Maka Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tumpuan kami ialah untuk mengkoordinasi reformasi struktur ekonomi untuk memastikan produktiviti kita menjadi lebih baik daripada apa yang dicapai oleh UMNO dan Barisan Nasional kini. Penambahbaikan sistem pendidikan dan latihan kemahiran, menggalakkan inovasi dan pengkomersialan harta intelek, membantu syarikat-syarikat menggunapakai teknologi, automasi dan sistem IT terkini akan dilakukan secara tersusun.

Selain itu, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memastikan  kerangka  dasar  persaingan  negara adalah yang terbaik, beserta dasar tenaga buruh yang memastikan keuntungan dikongsi secara adil. Kerangka peraturan untuk IKS dan syarikat-syarikat lain juga akan dipermudahkan supaya kos menjalankan perniagaan dapat diturunkan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memastikan penyelarasan antara dasar hubungan antarabangsa negara dengan dasar pembangunan industri, agar Malaysia boleh menggunakan diplomasi ekonomi dalam membantu para usahawan kita berjaya di peringkat serantau dan antarabangsa.

Perniagaan yang memerlukan bantuan untuk memperbaiki teknologi dan inovasinya akan disokong, termasuklah dengan cara memastikan polisi pelaburan kita akan menggalakkan kemasukan teknologi terkini ke dalam negara.

Pakatan Harapan meyakini bahawa golongan wanita boleh memberi sumbangan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Maka, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan bahawa wanita boleh mencapai kemuncak kerjayanya tanpa halangan, termasuklah dengan cara menggalakkan pengamalan waktu kerja fleksibel untuk ibu-ibu yang perlu menjaga anak mereka dan juga memberi insentif kepada syarikat-syarikat yang menjaga kebajikan pekerja wanita mereka.

Pakatan Harapan sedar bahawa salah satu kelemahan tenaga    kerja    kita    ialah    kegagalan    menguasai Bahasa Inggeris. Hasil kelemahan UMNO dan Barisan Nasional, prestasi para pelajar kita dalam ujian PISA (Programme for International Student Assesment) tidak memberangsangkan  berbanding negara-negara seperti Vietnam sekalipun. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbetulkan kegagalan ini dengan segera. Kami akan mengurangkan bebanan tugas pentadbiran guru-guru supaya mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengajar murid-murid secara terus. Hasil daripada penambahbaikan sistem pendidikan, kami yakin para pelabur akan lebih yakin untuk membuat pelaburan berkualiti lebih tinggi dalam negara kita.

Janji 32: Memperkenalkan sistem percukaian mesra rakyat dan mesra usahawan

Percukaian   adalah   salah   satu   mekanisme untuk   membolehkan   kerajaan   melaksanakan program pembangunan dan kebajikan untuk rakyat. Adalah penting agar dasar percukaian negara boleh menyumbang ke arah pembangunan ekonomi yang lebih mapan, menggalakkan pelaburan, serta pada waktu yang sama tidak membebankan golongan berpendapatan rendah.

Pakatan Harapan akan menamatkan tindakan UMNO dan Barisan Nasional yang memperguna cukai untuk memeras rakyat, semata-mata kerana mereka boros, berhutang dengan banyak dan gagal mentadbir kewangan negara dengan amanah.

Pakatan Harapan akan mengkaji semula sistem percukaian negara secara holistik, dengan matlamat menjadikan kadar cukai pendapatan, cukai korporat dan cukai-cukai lain, kompetitif berbanding negara- negara ASEAN yang lain. Matlamat kami ialah agar kekayaan negara dikongsi secara adil, bukannya dibolot oleh orang tertentu dengan isteri dan anak anak mereka sahaja.

Kadar cukai syarikat dan cukai pendapatan untuk peniaga kecil-kecilan dan pekerja sambilan akan dikaji semula dengan matlamat mengurangkan bebanan mereka.

Kami akan memberi tumpuan kepada para peniaga kecil dan sederhana, kerana sektor IKS menyumbang kepada hampir 40 peratus daripada KDNK, dan 97 peratus daripada syarikat Malaysia adalah daripada kategori ini. Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu majoriti rakyat Malaysia menambah pendapatan dan memperluas perniagaannya dengan mewujudkan sistem cukai korporat yang mesra IKS, mesra peniaga atas talian (online business) dan mesra pekerja sambilan dan mereka yang bekerja dalam sektor ekonomi perkongsian (sharing economy).

Kadar cukai pendapatan peribadi juga akan dikaji semula supaya bebanan terhadap golongan 40 peratus pertengahan (M40) dapat dikurangkan. Manakala golongan 40 peratus terbawah (B40) memang secara umumnya tidak membayar cukai pendapatan.

Janji 33: Menubuhkan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama

Salah satu janji dasar yang dicadangkan dalam versi pertama Model Baru Ekonomi pada tahun 2010 adalah penubuhan Suruhanjaya Peluang Saksama. Tujuan Suruhanjaya ini adalah untuk menangani amalan pengambilan pekerja yang bersifat diskriminasi dan tidak adil di sektor awam dan juga sektor swasta. Tujuan dasar ini adalah untuk meningkatkan daya saing ekonomi domestik. Malangnya, cadangan ini dikeluarkan dalam versi akhir Model Baru Ekonomi, dan ini dikritik oleh mereka yang menulis Model Baru Ekonomi itu sendiri.

Kami menyedari bahawa amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi wujud dalam banyak sektor   ekonomi.   Kajian-kajian   oleh   ahli   akademik telah mendedahkan wujudnya diskriminasi dalam pengambilan  pekerja  di  sektor  swasta.  Pada  masa yang sama, terdapat juga aduan mengenai amalan ketidakadilan terhadap pengambilan pekerja di sektor awam.

Penubuhan sebuah Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Saksama (EEOC), yang akan diwakili oleh individu yang dihormati dari sektor swasta dan awam, bertujuan untuk menghapuskan amalan pengambilan pekerja yang tidak adil dan diskriminasi ini. Dengan berbuat demikian, kami akan mewujudkan tenaga kerja di sektor awam dan swasta yang lebih pelbagai, lebih berdaya tahan, lebih inovatif dan lebih responsif terhadap pola dan permintaan pasaran serta keperluan warganegara Malaysia.

Janji 34: Meningkatkan pendapatan rakyat terbanyak

Kadar ketidaksamarataan pendapatan semakin meningkat, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Bilangan rakyat yang mampu menabung adalah rendah. Bank Negara Malaysia melaporkan (2015) bahawa tiga daripada setiap empat orang rakyat Malaysia tidak mampu untuk mencari walaupun hanya RM1,000 jika berlaku kecemasan, dan hanya 6 peratus sahaja yang boleh bertahan selama lebih enam bulan jika mereka kehilangan sumber pendapatan. Kegagalan UMNO dan Barisan Nasional untuk membantu rakyat biasa adalah amat nyata.

Pakatan Harapan akan membela nasib semua rakyat, terutama   golongan   Bumiputera   dan   mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan. Strategi utama kami ialah dengan merancakkan pembangunan ekonomi untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, dan pada waktu yang sama mewujudkan jaringan keselamatan sosial golongan berpendapatan rendah. Tiada seorang rakyat pun yang akan ditinggalkan.

Untuk menghentikan diskriminasi terhadap Sabah dan Sarawak, Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan kadar gaji minimum di Sabah dan Sarawak agar setara dengan Semenanjung.

Kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan, dan kami akan menyemak kadar ini setiap 2 tahun.

Untuk mengurangkan bebanan kepada majikan, Kerajaan Pakatan Harapan akan berkongsi 50 peratus daripada kos ini dengan majikan. Ini bermaksud apabila gaji minimum dinaikkan daripada RM1,000 ke RM1,500, Kerajaan Pakatan Harapan akan membiayai RM250, manakala majikan pula membiayai RM250 lagi.

Lambakan pekerja asing adalah salah satu faktor yang menyebabkan gaji pekerja Malaysia tidak meningkat dengan sewajarnya.

UMNO dan Barisan Nasional gagal sama sekali mengawal lambakan pekerja asing. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan pekerja asing daripada 6 juta kepada 4 juta orang dalam penggal pertama pentadbiran kami.

Pakej galakan dan insentif kepada para pengusaha kecil dan sederhana akan dipelbagaikan, terutamanya untuk mereka yang tinggal di kampung-kampung dan di kawasan-kawasan FELDA seluruh negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membantu Majlis dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri agar mereka boleh menyalurkan bantuan zakat dan sedekah kepada golongan kurang berkeupayaan dengan lebih efektif dan pantas. Maklumat tentang pendapatan isi rumah dan keperluan rakyat termiskin akan dikongsi secara pintar dengan peringkat negeri, tanpa mengubah kuasa negeri dalam pentadbiran agama masing-masing.

Sebuah agensi khas akan diwujudkan untuk mengambil alih pengurusan BR1M dan memperkenalkan skim bantuan tunai (cash transfer scheme) yang tersusun dan bebas daripada pengaruh politik kepartian.

Agensi ini akan mengambil tindakan segera untuk mengkaji mekanisme bantuan sosial (welfare benefits) di   negara-negara   maju   dan   seterusnya   merangka skim yang sesuai dengan kemampuan Malaysia, serta menggalakkan sektor swasta dan badan-badan kebajikan untuk menyumbang.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan melipatganda penglibatan sektor badan kebajikan dan keusahawanan sosial dalam membantu golongan yang memerlukan. Bantuan dan insentif yang sewajarnya akan disediakan untuk badan-badan yang berkelayakan.

Janji 35: Menaikkan martabat golongan pekerja dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti

Rakyat Malaysia adalah antara yang paling terpelajar dan rajin di rantau Asia. Tetapi, di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional, para pekerja kita dipandang remeh, malah ditindas. UMNO dan Barisan Nasional hanya memihak kepada syarikat- syarikat korporat besar.

Pada waktu yang sama, UMNO dan Barisan Nasional juga mahu membawa masuk 1 juta lagi pekerja asing Bangladesh, walaupun ini hanya akan melonjakkan bilangan pekerja asing dan merencatkan kenaikan gaji pekerja tempatan. Akibatnya, gaji pekerja tempatan tidak lagi mampu menampung kehidupan seharian.

Anak-anak muda lepasan persekolahan, kolej dan universiti semakin sukar mendapat pekerjaan yang berkualiti. Mereka terpaksa bekerja sebagai pekerja sementara atau pekerja kontrak yang tidak terjamin. UMNO dan Barisan Nasional pula mahukan mereka menjadi penjual nasi lemak sahaja. Kini, ramai anak muda menerima gaji pada tahap kemiskinan. Graduan universiti pula mendapat gaji permulaan sekitar RM2,000 sahaja, iaitu sama seperti graduan tahun 1998.

Pakatan Harapan memahami masalah anak muda dan pekerja Malaysia.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkukuh hak para pekerja menubuhkan kesatuan sekerja dan memilih kesatuan sekerja di tempat kerja masing-masing. Para pekerja perlu diberi hak untuk menubuhkan kesatuan sekerja, dan kebebasan mereka untuk menyertai secara sukarela sesebuah kesatuan akan dipertahankan. Hak untuk berunding dengan majikan secara berkumpulan (collective bargaining) akan dilindungi dan diperluaskan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kualiti perlindungan hak pekerja di Malaysia setara dengan piawaian antarabangsa, termasuklah konvensyen- konvensyen yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation).

Kerajaan   Pakatan   Harapan   akan   memberi   fokus untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk memastikan wujud mobiliti sosial yang membolehkan lebih ramai warga kita menjadi golongan kelas menengah. Kami juga akan merancakkan pelaburan dalam sektor teknologi STEM demi menjamin masa depan negara dalam persaingan dunia.

Untuk memastikan gaji rakyat meningkat, Kerajaan Pakatan Harapan akan menaikkan gaji minimum ke RM1,500, dan pada masa yang sama, memperkenalkan dasar dan peraturan agar pekerja tempatan diutamakan oleh majikan. Bilangan pekerja asing akan dikurangkan secara berperingkat dan Menteri kami akan dilarang memberi surat sokongan untuk mengambil pekerja asing.

Demi menyiap-siagakan pekerja Malaysia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, mereka yang menganggur akan diberi latihan semula secara percuma, dalam sektor-sektor baru, terutamanya sektor teknologi.

Menyedari bahawa Malaysia sedang menjadi tuan rumah kepada lebih dari 150,000 orang pelarian, termasuk dari Rohingya dan Syria, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengabsahkan status mereka yang mempunyai kad UNHCR sebagai pelarian dan memberi kebenaran untuk mereka bekerja. Hak mereka sebagai pekerja juga akan dilindungi secara saksama dengan para pekerja lain. Ini akan mengurangkan keperluan negara kepada pekerja asing, mengurangkan risiko golongan pelarian  terlibat dengan kegiatan jenayah dan ekonomi bawah tanah, serta membantu golongan pelarian untuk membina kehidupan baru tanpa penindasan.

Untuk membolehkan ibu bapa terus bekerja dengan hati yang tenang, Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan perkhidmatan penjagaan anak disediakan bagi anak berumur sehingga 12 tahun. Perkhidmatan ini akan diberi subsidi di semua Jabatan kerajaan. Syarikat swasta pula akan diberi insentif untuk menyediakan perkhidmatan yang sama.

Untuk membolehkan syarikat IKS menjaga kebajikan pekerjanya, Kerajaan Pakatan Harapan akan mengkoordinasi agar perkhidmatan jagaan anak boleh disediakan dengan menggabungkan pekerja daripada beberapa syarikat di tempat yang sama, termasuklah dengan menggunakan khidmat syarikat keusahawanan sosial dan pertubuhan-pertubuhan bukan berteraskan keuntungan.

Kami yakin masa depan para pekerja dan anak muda yang baru bekerja lebih terjamin di bawah kerajaan Pakatan Harapan

Janji 36: Melaksanakan KWSP untuk suri rumah

Suri rumah merupakan tunggak kepada sesebuah keluarga. Mereka menjaga keluarga, membesarkan anak-anak tanpa mengira penat lelah. Mereka melakukan semua ini tanpa menuntut apa-apa balasan, terutamanya suri rumah sepenuh masa yang tidak bekerja. Sumbangan kaum ibu begitu besar tetapi kebajikan jangka panjang mereka ada kalanya terabai.

UMNO dan Barisan Nasional mengabaikan golongan suri rumah dan kaum ibu. Sehingga kini suri rumah sepenuh masa tidak mendapat apa-apa bantuan yang signifikan.

Risiko yang ditanggung oleh suri rumah sepenuh masa adalah amat tinggi. Apabila umur mereka meningkat, ataupun apabila suami mereka telah tiada lagi, mereka akan terpaksa menanggung kesusahan hidup tanpa sebarang perlindungan sosial.

Kerajaan Pakatan Harapan memahami keperluan golongan suri rumah. Kami akan menjamin kebajikan kaum ibu supaya kehidupan mereka terjaga.

Sebagai langkah pertama, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan skim KWSP untuk suri rumah. Caruman akan disumbangkan daripada caruman KWSP para suami yang bekerja pada kadar 2% sebulan yang tidak membebankan. Sebagai tanda penghargaan kepada suri rumah, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi sumbangan caruman sebanyah RM50 sebulan kepada KWSP para suri rumah.

Bagi para suri rumah, pengeluaran boleh dibuat secara berperingkat mengikut umur untuk memastikan mereka mempunyai simpanan jangka panjang.

Selain daripada memastikan kebajikan ibu-ibu terjaga, langkah ini juga akan memastikan talian kekeluargaan adalah berterusan dan kebajikan ibu dijaga oleh keluarga terdekat sehingga akhir hayat.

Janji 37: Menjamin kesejahteraan rakyat jangka panjang

Kerajaan bukanlah pemilik sebenar harta negara, sebaliknya hanya memegang amanah yang dipinjamkan oleh rakyat sahaja. Maka, sebuah kerajaan yang amanah tidak sama sekali akan membelanjakan harta negara untuk kepentingan jangka pendek, tanpa mengambil kira keperluan negara pada masa hadapan, apatah lagi sekiranya perbelanjaan itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung hutang yang terlalu amat besar.

Pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional telah meletakkan negara dalam keadaan yang genting akibat   keborosan   dan   ketirisan   yang   berleluasa. Maka antara langkah awal yang akan dilakukan oleh Kerajaan Pakatan Harapan ialah untuk menyemak dan menyenaraikan semua hutang kerajaan dan liabiliti yang ditanggung oleh kerajaan akibat jaminan-jaminan yang dikeluarkan. Senarai ini akan diterbitkan kepada rakyat agar rakyat faham kedudukan sebenar hutang dan liabiliti negara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan satu akta yang menghalang kerajaan daripada mengambil wang rakyat yang disimpan dalam tabung-tabung amanah untuk membiayai perbelanjaan kerajaan. Ini akan menyelamatkan wang rakyat dalam tabung- tabung amanah seperti Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 akan dirombak agar KWAN menjadi salah satu instrumen jaminan kestabilan kewangan negara pada masa depan, yang ditadbir secara professional, dengan mengambil pelbagai contoh termasuklah dana pelaburan kerajaan Norway. Peratusan tetap daripada keuntungan daripada Petronas, dengan minimum RM10 bilion setahun, dan keuntungan syarikat-syarikat milik kerajaan lain akan wajib disalurkan kepada KWAN, sebagai tabungan negara jangka panjang.

Satu kumpulan yang sering dilupakan oleh UMNO dan Barisan Nasional ialah rakyat Malaysia berbangsa Cina yang  tinggal  di  kawasan-kawasan  luar  bandar  dan di kampung-kampung baru. Pakatan Harapan sedia maklum akan cabaran yang dihadapi mereka dan akan memastikan kebajikan mereka terjaga.

Kampung-kampung baru dan kampung-kampung perikanan Cina adalah bahagian penting dalam lanskap sejarah dan budaya Malaysia. Kebanyakan kampung ini, terutamanya mereka yang terletak di kawasan luar bandar, mengalami aliran keluar penduduk akibat kekurangan peluang ekonomi dan pekerjaan. Hari ini terdapat lebih daripada 600 perkampungan baru di Malaysia, di mana lebih 450 daripadanya ditubuhkan semasa darurat di Malaya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan peruntukan tetap sebanyak RM 60 juta setahun dalam penggal pertama pentadbiran kami, dan ini adalah lebih tinggi daripada hanya RM20 juta setahun yang diperuntukkan oleh UMNO dan Barisan Nasional.

Tumpuan perbelanjaan ialah untuk penambahbaikan infrastruktur    seperti    jalan    raya,    dewan    komuniti dan ruang awam yang lain. Sebahagian daripada pembiayaan ini juga boleh digunakan untuk membantu penduduk kampung mendapatkan geran tanah bagi membolehkan   kerja   pembaharuan   dan   penaikan taraf harta. Elemen utama dana ini adalah untuk membolehkan komuniti kampung tersebut menentukan sendiri cara terbaik untuk membelanjakan wang yang diperuntukkan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menyediakan peluang pinjaman dengan kadar faedah rendah bagi membantu perniagaan kecil yang sering menjadi pekerjaan utama di kebanyakan kampung ini. Pinjaman sedemikian akan digunakan untuk menarik usahawan yang ingin melabur dalam perniagaan di kampung- kampung ini untuk meningkatkan daya tarikan tempat bersejarah dan kebudayaan yang wujud di sana.

Janji  38:  Membela  nasib  Orang  asal  di Semenanjung Malaysia

Masyarakat Orang Asal di Semenanjung Malaysia telah dipinggirkan dan dilayan sebagai rakyat kelas bawahan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Ini adalah satu kezaliman kerana mereka penduduk asal tanah air ini.

Pakatan Harapan mahu mengiktiraf dan mengangkat martabat serta membela hak komuniti Orang Asal.

Kerajaan Pakatan Harapan akan merombak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) agar Orang Asal diberi keupayaan untuk memperbaiki kehidupan mereka dan bukannya dikuasai dan dikawal oleh jabatan tersebut.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menyusun langkah- langkah perlu agar Ketua Pengarah JAKOA dapat dilantik dari kalangan masyarakat Orang Asal sendiri.

Tanah adat adalah satu perkara penting bagi masyarakat Orang Asal. Kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha untuk melaksanakan cadangan-cadangan daripada Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Adat Orang Asal / Asli yang disediakan oleh SUHAKAM pada tahun 2013. Laporan ini tidak dipedulikan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Bagi kerajaan Pakatan Harapan, langkah permulaan yang akan diambil ialah membawa laporan ini untuk perbahasan Parlimen dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menjamin bahawa Orang Asal mendapat pembelaan yang lebih baik dalam skim pembangunan tanah seperti FELCRA dan RISDA. Sebarang perjanjian yang tidak adil kepada Orang Asal akan dirombak semula.

Untuk membolehkan tanah adat Orang Asal diiktiraf dengan sewajarnya, Kerajaan Pakatan Harapan akan memperuntukkan dana untuk melaksanakan kajian lengkap yang boleh mengenalpasti sempadan tanah adat dengan tepat. Kawasan-kawasan yang penting seperti tanah perkuburan dan tanah milik nenek moyang Orang Asal akan dihormati.

Lebih banyak sumber akan diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur perkampungan Orang Asal, termasuk jalan berturap, grid elektrik 24 jam, bekalan air yang dirawat dan rangkaian komunikasi yang stabil, supaya tiada komuniti Orang Asal yang terpinggir.

Sekolah-sekolah di perkampungan Orang Asal akan diperbesarkan dan diberi sumber-sumber secukupnya untuk memastikan anak-anak Orang Asal mendapat pendidikan berkualiti. Ini termasuklah kurikulum yang sesuai dengan suasana sosiobudaya Orang Asal.

Peruntukan juga akan disalurkan untuk memelihara budaya dan warisan Orang Asal. Pada masa yang sama,    program    sesuai    juga    akan    dilaksanakan untuk mempromosi budaya dan warisan Orang Asal kepada semua rakyat Malaysia dan di gelanggang antarabangsa.

Janji 39: Mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar

Pembangunan Malaysia kini berjalan tanpa mengambil kira kelestarian alam sekitar. Laut ditambak sehingga memberi kesan kepada habitat ikan walaupun tanah yang ada masih banyak. Perlombongan diluluskan sehingga seluruh kawasan tertentu menjadi merah dengan pencemaran debu. Pembalakan diberi lesen sehingga kawasan tadahan air menjadi gondol, lantas menyebabkan banjir teruk. Empangan dibina sehingga hutan tropika warisan zaman beserta pelbagai spesis haiwan menjadi terancam.

UMNO dan Barisan Nasional tidak mengendahkan kelestarian flora dan fauna yang mengindahkan bumi kita selama ini. Sebaliknya, UMNO dan Barisan Nasional tunduk kepada syarikat besar dan kapitalis kroni mereka. Kebajikan rakyat dan kesinambungan alam sekitar bukan perkiraan utama mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mentadbir negara bertuah ini dengan berpaksikan prinsip kelestarian dan pembangunan mapan yang mesra alam.

Dasar dan peraturan alam sekitar akan dikaji semula supaya setaraf dengan Amalan Baik Antarabangsa (International Best Practices).

Semua projek-projek pembangunan mestilah mematuhi piawaian perlindungan alam sekitar antarabangsa sebelum diberikan kelulusan.

Projek-projek kontroversial yang telah diluluskan atau yang sedang berjalan akan diperiksa semula untuk memastikan semuanya mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Kuota pembalakan akan dikuatkuasakan dengan tegas untuk memastikan hutan negara kita boleh dipulihara. Pada waktu yang sama, Kerajaan Pakatan Harapan akan  memperkemas  dan melaksanakan sepenuhnya peraturan-peraturan untuk melindungi hidupan laut, hidupan liar dan alam semula jadi, serta mengambil tindakan yang tegas terhadap pemburu dan pembalak haram.

Kerajaan Pakatan Harapan menyokong Agenda Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) yang dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Matlamat untuk mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon menjelang 2020 akan dijadikan salah satu kayu ukur utama pentadbiran kami.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi hijau dan tenaga boleh  diperbaharui.  Industri  ini  mempunyai  potensi untuk berkembang pesat, lantas mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih banyak serta pulangan yang berganda. Penjanaan tenaga melalui sumber boleh diperbaharui akan dipertingkatkan daripada 2 peratus sekarang kepada 20 peratus menjelang 2025. Kami juga akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga yang dijanakan oleh batu arang yang merupakan salah satu kaedah penjanaan kuasa tenaga yang memberi kesan negatif besar dari segi pelepasan CO2.

Dasar pelaburan negara juga akan dinilai semula agar keutamaan diberikan kepada industri yang berteknologi tinggi dan menggunakan tenaga daripada sumber- sumber boleh diperbaharui.

Semua undang-undang dan peraturan berkenaan pengurusan dan perlindungan alam sekitar akan disemak semula agar struktur tatakelola yang tepat dapat  diwujudkan,  selaras  dengan  zaman  moden yang semakin mencabar. Peraturan yang ketat akan dikuatkuasakan untuk memastikan Malaysia tidak menjadi tempat pembuangan bahan-bahan tercemar oleh syarikat-syarikat dari negara lain.

Kami juga akan menubuhkan “Majlis Koordinasi Kebangsaan untuk Adaptasi dan Mitigasi Iklim” yang berperanan menyelaras tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk menangani cabaran berkenaan dengan perubahan iklim. Sistem iklim dunia yang telah berubah menyebabkan berlakunya fenomena cuaca yang luar biasa dan tidak menentu.   Bandar-bandar di tepi laut atau di tepi sungai terdedah kepada risiko banjir yang sebelum ini tidak nyata.

Sementara usaha dilakukan di peringkat antarabangsa untuk menstabilkan iklim dunia dengan mengurangkan pelepasan karbon, Kerajaan Pakatan Harapan akan mempercepatkan kerja-kerja penyesuaian (adaptation) agar infrastruktur dan minda rakyat jelata bersedia untuk menangani perubahan yang berlaku.

Usaha UMNO dan Barisan Nasional untuk membina loji tenaga nuklear akan dihentikan.

Usaha  untuk  menjadikan  biodiversiti  sebagai  salah satu sumber pendapatan negara akan dilipatganda. Sasaran kami ialah agar sekurang-kurangnya dua lagi Taman Negara kita diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO (World Heritage Site).

-Manifesto HARAPAN

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.