Pakatan HARAPAN berjanji mereformasikan Institusi Pentadbiran dan politik

Leave a Comment

PRU14 | Kerosakan yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO dan Barisan Nasional sekarang menyebabkan tahap kepercayaan kepada institusi-institusi penting negara amat rendah. Semakin ramai yang mempersoal integriti institusi-insitusi penting negara, terutama selepas berlakunya pelantikan yang diragui ke jawatan-jawatan penting negara.

Amalan kronisme terus menjadi barah dalam negara sehingga Indek Kapitalisme Kroni yang diterbitkan oleh majalah antarabangsa The Economist meletakkan Malaysia sebagai negara kedua terburuk di dunia selepas Rusia pada tahun 2016. Ini menyebabkan kontrator Melayu dan Bumiputera menjadi semakin tertekan kerana kontrak dan perolehan kerajaan semakin sukar diperolehi oleh mereka.

Malaysia juga jatuh ke kedudukan 62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index) dunia pada  2017,  iaitu  jatuh  tujuh  mata  berbanding  2016. Ini menandakan kedudukannya yang terendah sejak indeks  Transparency  International  (TI)  bermula  pada 1995. Ini adalah tahun ketiga berturut-turut Malaysia mendapat kedudukan corot dalam kajiselidik badan pemantau anti rasuah TI berkenaan tanggapan rasuah dalam sektor awam.

Sistem semak imbang yang diwujudkan oleh para pejuang kemerdekaan terdahulu kini semakin sukar untuk berfungsi secara efektif sehingga ada kalanya Raja Raja Melayu terpaksa memberi teguran. Ini melambangkan betapa pemusatan kuasa ke tangan Perdana Menteri telah menjadi amat keterlaluan.

Pakatan Harapan akan mengembalikan kepercayaan terhadap institusi pentadbiran negara dan menebus maruah pentadbiran kita dengan melaksanakan janji- janji berikut.

Janji 11: Mengembalikan maruah orang Melayu dan institusi-institusinya

UMNO dan Barisan Nasional tidak memperdulikan nasihat dan kebijaksanaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu. Sebaliknya mereka hanya mengambil pandangan yang memberi faedah politik kepada mereka sahaja, dan mengenepikan pandangan- pandangan yang tidak selesa pada mereka

Majlis Raja-Raja Melayu pernah bertitah agar kes 1MDB diselesaikan segera. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional sehingga hari ini tidak mengendahkan titah tersebut. Majlis Raja-Raja Melayu pernah bertitah agar institusi- institusi kawal selia negara dijaga. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus memanipulasi pasukan Polis DiRaja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara, Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman, untuk kepentingan politik mereka. Duli-Duli Tuanku berkali-kali mengingatkan agar keharmonian antara kaum dijaga. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional terus membiarkan politik perkauman yang sempit dimainkan, termasuklah oleh pemimpin mereka.

Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa meletakkan pandangan dan teguran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu di tempat tertinggi, iaitu sesuai dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dalam negara kita.

Kuasa Raja-Raja Melayu dalam mentadbir agama dan adat istiadat Melayu akan dikembalikan ke negeri-negeri dan campur tangan kerajaan pusat akan dihentikan.

Untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara harmoni yang mengekalkan kedudukan istimewa bangsa Melayu, Kerajaan Pakatan Harapan akan menubuhkan semula, secara tetap, Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat, iaitu seperti Majlis yang seumpamanya yang pernah wujud pada zaman Almarhum Tun Abdul Razak.

Ini akan membolehkan usaha memupuk hubungan antara kaum dan agama yang harmoni boleh dibincang secara bersama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi galakan kepada universiti-universiti awam untuk memperbanyak kajian dan perkongsian nasional dan antarabangsa mengenai kesultanan Melayu agar sejarah ketamadunan Melayu dapat dikongsi di persada dunia.

Muzium  Diraja  di  Istana  Negara  lama  akan  dinaik taraf    menjadi    Muzium    Pendidikan    Kebangsaan, dan kerjasama akan dijalin dengan universiti awam untuk mengaktifkan kegiatan kajian, penerbitan dan pendidikan, melalui seminar dan persidangan secara berkala, tentang institusi Raja-Raja Melayu. Kerjasama juga akan dijalin dengan muzium diraja negara-negara lain agar berlaku percambahan fikiran dan perkongsian ilmu tentang peranan penting institusi beraja dalam semak imbang negara demokrasi.

UMNO dan Barisan Nasional telah gagal menjaga tanah- tanah rezab Melayu. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan tanah-tanah rezab Melayu dilindungi dan semua tanah rezab Melayu yang telah ditukar status diganti semula dengan tanah yang nilainya sama atau lebih tinggi.

Syarikat-syarikat milik kerajaan yang terpilih akan dipersediakan untuk dibeli oleh pengurusan (management buy out) agar peratus pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera meningkat.

Prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan   dibahaskan   di   Parlimen   setiap   tahun   agar kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya. Kedudukan ekonomi Melayu akan dibentangkan dalam ucapan belanjawan setiap tahun supaya kerajaan boleh dipertanggungjawabkan secara terbuka.

Janji 12: Menghadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri

Di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional, Dato’ Sri Najib Tun Razak telah membolot semua kuasa penting sehingga Menteri-Menteri kabinet menjadi  seperti  pak  turut  sahaja.  Pakatan  Harapan akan mereformasi peranan kabinet dan Jabatan Perdana Menteri secara keseluruhannya supaya sistem pentadbiran kabinet kolektif akan kembali diamalkan di Malaysia.

Tempoh jawatan Perdana Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sahaja. Amalan tadbir urus yang baik ini akan juga diterapkan untuk jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan Menteri Kewangan.

Bilangan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sekarang adalah terlalu besar. Terdapat 10 orang Menteri dan 3 orang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan apakah peranan mereka sebenarnya.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan bilangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada 3 orang sahaja. Tanggungjawab lain akan diturunkan kepada kementerian-kementerian yang bersesuaian.

Peruntukan kewangan kepada Jabatan Perdana Menteri juga adalah terlalu besar, sehingga memungkinkan berlakunya pelbagai salah laku di peringkat tertinggi. Dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, kami akan menurunkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri daripada lebih RM17 bilion sekarang kepada kurang daripada separuh, iaitu RM8 bilion sahaja.

Jabatan Perdana Menteri kini juga mempunyai terlalu banyak agensi, sehingga wujud pertindanan dengan agensi di bawah kementerian lain, dan menjadikan Perdana Menteri seolah olah seorang raja. Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan bilangan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan cara memindahkan seberapa banyak agensi yang mungkin ke kementerian yang berkaitan.

Kuasa Perdana Menteri untuk memanipulasi institusi penting negara juga akan dihapuskan dengan mewujudkan lebih banyak proses semak imbang. Kuasa- kuasa yang berkaitan akan diserahkan kepada badan- badan yang lebih sesuai, termasuklah di peringkat Parlimen.

Janji 13: Menyelesaikan skandal 1MDB, FELDA, Mara dan tabung Haji

Terlalu banyak salah laku, rasuah dan ketirisan yang berlaku di bawah pentadbiran Dato’ Sri Najib Tun Razak sehingga kerajaan UMNO dan Barisan Nasional kini dikenali dunia sebagai kerajaan kleptokrat.

Pakatan Harapan akan memastikan semua mereka yang  terlibat  dalam  rasuah  dan  salah  laku  dibawa ke muka pengadilan. Untuk itu, Kerajaan Pakatan Harapan akan  menjalankan siasatan terperinci untuk mengenalpasti mereka yang wajib menerima hukuman yang setimpal.

Suruhanjaya siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat secara   terperinci   dan   berasingan   penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji. Suruhanjaya ini juga akan ditugaskan untuk mencadangkan tindakan susulan yang sesuai, serta mekanisme terperinci untuk menyelesaikan skandal- skandal besar ini.

Struktur pentadbiran 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji juga akan dikaji semula untuk memastikan wujud semak imbang yang efektif. Para pemegang jawatan akan dipastikan terdiri daripada golongan professional dan bukan mereka yang mempunyai kepentingan politik.   Pelaburan-pelaburan yang meragukan di luar negara  yang  telah  dibuat  oleh  syarikat-syarikat  ini akan dihentikan dan kekayaan negara akan dibawa kembali ke tanah air untuk memastikan ia tidak dicuri oleh ahli politik dan golongan kleptokrat yang tidak bertanggungjawab.

SPRM merupakan badan terpenting dalam mencegah rasuah di Malaysia. Kepercayaan rakyat terhadap SPRM adalah amat penting untuk memastikan ia boleh menjalankan tanggungjawab dengan sepenuhnya.

Pakatan Harapan akan memberikan sepenuh mandat dan kepercayaan kepada SPRM untuk melaksanakan peranan mereka.

Kerajaan   Pakatan   Harapan   akan   menaikkan   taraf SPRM   kepada   sebuah   suruhanjaya   yang   diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, iaitu sama seperti kedudukan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Penaikan taraf ini akan membolehkan SPRM mempunyai autonomi dan kuasa tersendiri, termasuk melantik para pegawai mereka   sendiri,   dan   disediakan   peruntukan   yang khas, yang dilindungi oleh Perlembagaan. SPRM akan melapor terus kepada Parlimen, dan bukan lagi kepada Perdana Menteri.

Untuk  memastikan  semak  imbang  yang  efektif, bilangan Pesuruhjaya SPRM akan ditambah dengan mewujudkan kuota untuk pertubuhan masyarakat sivil menjadi ahli SPRM. Salah seorang dari mereka akan menjadi   Pengerusi   SPRM,   dan   semua   pesuruhjaya akan mempuyai jaminan pelantikan tetap (security of tenure). Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula Akta   Perlindungan   Pemberi   Maklumat   2010,   Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Perlindungan Saksi 2009, untuk melakukan penambahbaikan yang perlu. Akta Kebebasan Maklumat akan digubal, dan peruntukan kewangan akan diberikan untuk melaksanakan akta baru ini.

Semua   Ahli   Dewan   Rakyat,   Ahli   Dewan   Negara, dan  pegawai  kerajaan  berpangkat  JUSA  C  ke  atas akan diwajibkan membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.

Sebagai lambang komitmen Kerajaan Pakatan Harapan kepada prinsip ketelusan dan keterbukaan, kami akan mengambil langkah segera untuk mengambil bahagian aktif dalam gerakan antarabangsa, iaitu bermula dengan menjadi ahli Open Government Partnership yang kini dianggotai oleh 70 negara di seluruh dunia.

Janji 15: Memisahkan Pejabat Pendakwaraya negara daripada Pejabat Peguam negara

Peguam Negara adalah penasihat undang- undang utama kepada kerajaan dan peranan ini perlu dikekalkan. Tetapi  wujud konflik kepentingan apabila Peguam Negara juga berfungsi sebagai Pendakwa Raya kerana kerajaan adalah seperti “anak guam” kepada Peguam Negara. Adalah amat janggal apabila seorang peguam juga memegang kuasa mutlak untuk menentukan sama ada anak guamnya akan didakwa atau tidak.

Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa adalah lebih baik sekiranya jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diasingkan agar konflik kepentingan boleh dihapuskan. Ini juga sesuai dengan amalan di negara-negara yang mengamalkan sistem Westminster seperti Malaysia.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk memisahkan tanggungjawab Peguam Negara daripada Pendakwa Raya.

Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli parlimen yang berkelayakan, dan beliau akan menjadi seorang Menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

Jawatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian.

Beliau akan mengetuai Pejabat Pendakwa Raya Negara yang mempunyai autonomi dalam melaksanakan kuasa-kuasa pendakwaan, iaitu sama seperti yang dilakukan oleh negara-negara lain yang demokrasinya lebih matang.

Janji 16: Mengembalikan wibawa institusi parlimen

Parlimen merupakan institusi penting untuk menyemak imbang kuasa Eksekutif. Untuk itu, institusi parlimen mestilah mempunyai infrastruktur yang sewajarnya dan dibiayai oleh peruntukan yang terjamin.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963, dengan penambahbaikan dalam perkara-perkara tertentu agar akta tersebut sesuai dengan cabaran zaman moden.

Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara akan dipastikan dilantik dari kalangan ahli-ahli Dewan yang mempunyai integriti dan kredibiliti. Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara mestilah berhenti daripada politik kepartian sebaik sahaja menerima jawatan tersebut.  Untuk  memastikan Speaker Dewan Rakyat dan Presiden Dewan Negara menjalankan tugas dengan adil, sebuah jawatankuasa khas akan dibentuk untuk  menerima  dan  meneliti aduan ahli-ahli dewan mengenai keputusan-keputusan yang dirasakan tidak adil.

Ketua Pembangkang akan diberikan status dan peruntukan yang sama dengan seorang Menteri Persekutuan.

Pembiayaan berdasarkan formula yang telus akan diberikan kepada semua ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan mereka menjalankan tugas dan mengurus pusat khidmat masing-masing.

Untuk membolehkan parlimen memainkan peranan yang sewajibnya, persidangan Dewan Rakyat akan dijalankan minimum 100 hari setiap tahun.

Sistem Jawatankuasa Terpilih akan diinstitusikan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, lengkap dengan peruntukan   dan staf sokongan yang sewajarnya untuk membolehkan ia berfungsi dengan berkesan. Jawatankuasa Sementara juga boleh diwujudkan untuk perkara-perkara yang perlu.

Satu Jawatankuasa Terpilih Dewan Rakyat akan diwujudkan untuk memantau setiap Kementerian, dengan kuasa untuk memanggil Menteri dan pegawai kanan untuk memberi keterangan.

Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat Parlimen,. Ini akan mengurangkan kebolehan Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting tersebut

Badan-badan kawal selia utama negara seperti Jabatan Peguam Negara, SPRM, Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, dan Jabatan Audit Negara berhak dipanggil oleh jawatankuasa parlimen yang berkenaan.

Penubuhan kumpulan-kumpulan tidak rasmi dalam Parlimen juga akan digalakkan untuk membolehkan ahli-ahli parlimen bertukar-tukar padangan antara satu sama lain. Ini termasuklah kumpulan seperti kaukus dan kumpulan rentas parti (all party parliamentary groups) yang juga boleh membabitkan wakil dari kalangan masyarakat sivil dan bukan ahli parlimen.

Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara akan dikhaskan kepada Ahli Parlimen daripada parti pembangkang

Untuk   memastikan   rakyat   dan   semua   pemegang taruh boleh dilibatkan dalam proses membuat dasar, Kerajaan Pakatan Harapan akan menghidupkan budaya penerbitan Kertas Hijau untuk merancakkan perbincangan di kalangan rakyat, dan seterusnya penerbitan Kertas Putih untuk mengumumkan dasar- dasar besar kerajaan dan salah satu proses yang besar, sebelum akta baru diperkenalkan di Parlimen.

Pada setiap minggu, tempoh 30 minit akan diperuntukkan untuk sesi khas Soalan Kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Dewan Negara akan diperkasa untuk memastikan ia memainkan peranan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada Dewan Rakyat.

Bilangan Ahli-Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh negeri-negeri akan dipastikan sentiasa lebih ramai berbanding mereka yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan supaya suara dan hak negeri sentiasa terjaga.

Dalam kedua-dua Dewan, masa yang khusus akan diperuntukkan untuk:
  • Slot agenda parti pembangkang
  • Soalan Kepada Menteri untuk setiap kementerian yang wajib dihadiri oleh menteri- menteri berkenaan atau timbalannya.
  • Perdebatan di peringkat jawatankuasa mengenai laporan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), dan laporan tahunan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Petronas.
Untuk memastikan ketelusan dan mengelakkan salah guna kuasa, pada setiap tahun, Kerajaan Pakatan Harapan  akan  menerbitkan  senarai  penuh  keahlian Ahli-Ahli Parlimen dalam lembaga pengarah syarikat milik kerajaan di peringkat persekutuan atau negeri, dan semua syarikat swasta, atau sebagai konsultan, beserta dengan jumlah elaun dan bayaran-bayaran lain yang diterimanya.

Janji 17: Menjamin ketelusan dan kemodenan sistem pilihan raya

Sistem pilihan raya yang telus dan adil perlu wujud untuk memastikan rakyat mempunyai keyakinan terhadap sistem demokrasi di Malaysia. Pakatan Harapan sedia maklum akan pelbagai kebimbangan yang telah disuarakan tentang perjalanan pilihan raya di  Malaysia  selama  ini.  Kerajaan  Pakatan  Harapan akan mengambil tindakan tegas untuk mengembalikan kepercayaan rakyat kepada perjalanan pilihan raya negara kita.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membebaskan sepenuhnya Suruhanjaya Pilihanraya daripada campurtangan  Perdana  Menteri  dan  ahli-ahli  politik lain dengan meletakkan Suruhanjaya Pilihanraya sepenuhnya di bawah pemantauan Parlimen.

Satu kuota akan diwujudkan untuk memastikan masyarakat sivil mempunyai wakil sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

Pelantikan Ahli-Ahli Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia mestilah melalui proses perakuan oleh Parlimen.

Suatu jawatankuasa khas akan dibentuk di bawah pemantauan Timbalan Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan masyarakat sivil dalam mewujudkan dan menerbitkan Garispanduan Kerajaan Sementara (Caretaker Government). Matlamat khusus inisiatif ini ialah untuk menghalang salahguna aset kerajaan untuk kempen kepartian bermula daripada PRU15 nanti.

Tuntutan yang pernah disuarakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH), serta laporan pemantauan PRU13 yang diterbitkan oleh Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) akan dijadikan landasan dalam mereformasi sistem pilihan raya Malaysia.

Ini termasuklah tuntutan untuk membersihkan daftar pemilih, memperbaiki sistem pengundian pos, menetapkan minimum 21 hari untuk tempoh berkempen, memberikan akses yang adil kepada media untuk semua parti yang bertanding, dan memberi akreditasi dan latihan awal kepada pemerhati pilihan raya bebas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun, dan melaksanakan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara.

Untuk mewujudkan persaingan yang sihat, Kerajaan Pakatan Harapan akan memberi ruang kepada semua parti berdaftar yang akan bertanding dalam pilihan raya umum untuk bersiaran dalam saluran TV dan radio kendalian RTM, serta memastikan liputan pilihan raya oleh RTM adalah adil dan saksama.

Kerajaan Pakatan  Harapan akan memastikan nisbah yang adil dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya, dan mengumumkan secara telus kepada khalayak umum, formula yang digunakan dalam menentukan bilangan pengundi dan saiz kawasan setiap kawasan pilihan raya.

Janji 18: Mewujudkan mekanisme pembiayaan politik yang berintegriti

Dunia dikejutkan dengan pendedahan bahawa Presiden UMNO sekarang menerima wang sebanyak RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebelum PRU13 yang lalu. Sehingga kini, pelbagai persoalan masih belum terjawab sepenuhnya tentang sumber wang yang sebegitu banyak. Sejurus selepas skandal ini didedahkan, UMNO dan Barisan Nasional berlakon seolah-olah  mereka mahu memperbetulkan keadaan. Tetapi, sehingga hari ini, tiada langsung tindakan diambil untuk mengawalselia pendanaan politik agar rasuah tidak berulang.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pendanaan politik di negara kita telus dan bebas dari sumber-sumber yang merupakan rasuah di peringkat tertinggi. Satu Akta Kawalan Pembiayaan Politik akan diperkenalkan untuk tujuan ini.

Pakatan Harapan mengiktiraf bahawa pelbagai pihak telah memberi pandangan mengenai mekanisme yang perlu untuk memastikan undang-undang berkaitan pembiayaan politik adalah tegas dan berintegriti. Dalam tahun pertama pentadbiran Pakatan Harapan, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk menyemak semua cadangan tersebut. Jawatankuasa ini akan bertanggungjawab menyediakan draf Akta tersebut.

Prinsip-prinsip utama Akta tersebut tersebut ialah:
  • Parti-parti politik yang layak akan menerima pembiayaan tahunan daripada kerajaan mengikut formula yang telus dan konsisten
  • Semua sumbangan politik mestilah daripada sumberyang boleh dikenalpasti
  • Parti-parti politik mesti menghantar laporan kewangan yang telah diaudit pada setiap tahun
  • Parti-parti politik tidak boleh memiliki aset yang melebihi RM1 billion
  • Syarikat-syarikat  milik kerajaan tidak dibenarkan membuat sumbangan politik
Janji 19: Mengembalikan kepercayaan terhadap institusi kehakiman dan perundangan

Institusi kehakiman dan perundangan adalah unsur penting dalam sistem semak imbang negara. Institusi ini mestilah bebas dan berintegriti, demi memastikan ia diyakini oleh rakyat. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional semakin lama semakin tidak segan silu merobek kepercayaan rakyat terhadap institusi ini.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan hakim-hakim dilakukan dengan berpaksikan kelayakan dan pengalamannya, tanpa dipengaruhi kepentingan politik. Kuasa Perdana Menteri mempengaruhi pelantikan hakim-hakim akan dielakkan agar tidak berlaku salah guna kuasa untuk menyelamatkan diri sendiri.

Keanggotaan  Suruhanjaya  Pelantikan  Kehakiman akab diputuskan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen. Keputusan  pelantikan  yang  dibuat  oleh  Suruhanjaya ini akan dilaksanakan setelah merujuk kepada kebijaksanaan dan budi bicara DYMM Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Gaji,   elaun   dan   imbuhan  yang  diberikan  kepada hakim-hakim, termasuklah hakim Mahkamah Syariah, akan dipastikan sesuai dengan tahap professionalisme mereka.

Pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan melalui jalan belakang seperti yang diamalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional, akan dihentikan serta merta.

Untuk memastikan rakyat meyakini sepenuhnya integriti keputusan-keputusan yang diputuskan oleh mahkamah, satu peraturan akan diperkenalkan agar para hakim memberi  penghakiman  bertulis  setiap  kali  keputusan kes diumumkan. Sekiranya perlu, maka penghakiman bertulis ringkas boleh dikeluarkan dahulu sebelum penghakiman bertulis yang penuh dihasilkan.

Janji 20: Menjadikan angkatan tentera Malaysia dan pasukan Polis Diraja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani

Sebuah angkatan tentera dan pasukan polis yang moden dan berkebolehan adalah amat penting untuk memastikan negara boleh menjaga keamanan dan memerangi jenayah dengan berkesan. Pakatan Harapan   akan   memberikan   sokongan   kewangan dan prasarana yang selayaknya kepada kedua-dua komponen penting keselamatan negara ini.

Peruntukan kepada PDRM akan dipertingkat, sesuai dengan keperluan  mereka menaik taraf kemudahan kepada anggota polis terutamanya bagi anggota berpangkat rendah, dan keperluan kepada lebih ramai anggota. Peruntukan untuk latihan juga akan dinaikkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menjalankan perbincangan dan kajian terperinci dengan kedua-dua pasukan untuk mengenalpasti keperluan peralatan, persenjataan dan latihan termoden yang diperlukan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan mewujudkan mekanisme untuk memperkukuh hubungan dan akauntabiliti antara pasukan polis peringkat negeri dan daerah dengan masyarakat setempat. Desentralisasi berperingkat akan dijalankan untuk mempertingkat keberkesanan perkhidmatan polis di peringkat setempat.

Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) akan ditubuhkan dalam penggal pertama pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan. Semua bentuk tuduhan salah laku akan disiasat secara adil  dan menyeluruh,  termasuklah tuduhan kematian dalam tahanan.

Peranan dan fungsi Cawangan Khas Polis (Special Branch) akan diperhalusi dan dipermodenkan, agar mereka memberi tumpuan kepada keselamatan dalam negeri, anti-terorisme dan jenayah terancang. Pemantauan yang bermotif politik kepartian akan dihentikan. Cawangan  Khas  juga  akan  diberi  tanggungjawab untuk merangka dengan segera strategi holistik untuk mengawal dan memerangi terorisme dan ekstremisme agama.

Untuk menjaga kebajikan pesara tentera dan polis, kadar pencen yang sedia ada akan dikaji semula dan diselaraskan dengan kos sara hidup semasa. Bagi pesara polis, kadar pencen sebelum tahun 1970 dan selepas tahun 1970 akan diselaraskan.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan membiayai persatuan bekas pegawai polis dan persatuan bekas tentera. Peruntukan awal akan diberikan sekurang- kurangnya sebanyak RM500,000 setahun untuk setiap persatuan.

Janji 21: Memperkasa perkhidmatan awam

Sektor perkhidmatan awam adalah tulang belakang pelaksanaan dasar-dasar negara. Semua negara maju di dunia mempunyai sektor perkhidmatan awam yang dihormati, yang berfungsi secara professional untuk kebaikan rakyat. Justeru, sektor perkhidmatan awam mestilah diberi penghormatan yang sewajarnya agar mereka boleh menjalankan tanggungjawab  dengan  professional, tanpa tekanan atau ancaman.

Pakatan Harapan mengiktiraf bahawa sektor perkhidmatan awam negara pernah di anggap sebagai sektor perkhidmatan awam yang terbaik di kalangan negara membangun dan di rantau ini. Kerajaan Pakatan Harapan  akan  meletakkan  sektor  perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya dengan memastikan para pegawai kerajaan tidak terlibat atau terpengaruh dengan sentimen politik kepartian dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Campurtangan mereka yang bukan ahli perkhidmatan kerajaan, seperti konsultan tempatan dan antarabangsa, dalam penggubalan dasar negara akan dihadkan. Kepercayaan dan penghormatan yang lebih tinggi akan diberikan kepada para pegawai kerajaan yang pastinya lebih arif mengenai selok belok urus tadbir kerajaan berbanding konsultan luar.

Suruhanjaya Pekhidmatan Awam akan diarahkan untuk mengenalpasti para pegawai kerajaan yang berbakat dan berpotensi untuk memainkan peranan lebih besar dalam pentadbiran negara dan negeri. Mereka ini akan diberi sokongan dan latihan yang diperlukan untuk membolehkan bakat mereka terus berkembang, dan kenaikan pangkat mereka dapat disegerakan.

Kenaikan pangkat akan dilakukan berdasarkan prestasi perkhidmatan dan pengalaman. Semua proses ini akan dijadikan lebih telus agar warga perkhidmatan awam mempunyai peluang yang saksama untuk mendapatkan kenaikan pangkat dan gaji.

Budaya  kreatif  dan  kebolehan  berfikir  di  luar  kotak akan digalakkan, agar warga perkhidmatan awam boleh mempertajam kebolehan mereka dalam bidang masing-masing.

Janji 22: Menjadikan pentadbiran semua syarikat milik kerajaan (gLC) setaraf dengan piawaian antarabangsa

Syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) memainkan peranan yang amat besar dalam memperkembang ekonomi negara kita, baik di peringkat pusat, mahupun negeri. Ada GLC yang berfungsi dengan baik, terutamanya syarikat-syarikat yang termasuk dalam kumpulan “G20”, iaitu kumpulan 20 GLC yang berprestasi tinggi. Tetapi, masih terlalu banyak ketempangan yang wujud. Skandal 1MDB dan FELDA sahaja berpotensi memusnahkan banyak rekod positif syarikat-syarikat G20. Lebih memalukan ialah, bilangan sebenar GLC nasional dan GLC negeri tidak diketahui dengan tepat oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional. Tetapi, ramai kroni mereka yang terus meraih elaun hasil lantikan ke dalam GLC-GLC itu.

Kerajaan Pakatan Harapan akan meneruskan pengamalan ekonomi campuran, dengan mengambil prinsip-prinsip sistem ekonomi pasaran sosial sebagai teras utama. Syarikat-syarikat GLC akan beroperasi dalam sektor yang mengalami kegagalan pasaran (market failure), dan bukan untuk bersaing secara tidak sihat dengan syarikat swasta.

GLC akan diarahkan mendepani usaha mempertingkat pemilikan  Bumiputera  dalam ekonomi  negara. Kerajaan Pakatan Harapan mahu menyaksikan lebih banyak pemimpin korporat Bumiputera yang mampu meneruskan perjuangan syarikat GLC dengan cara pembelian ekuiti oleh pihak pengurusan (management buy out).

Ini akan menyumbang secara langsung ke arah peningkatan pemilikan Bumiputera.

Tadbir urus syarikat-syarikat GLC baik di peringkat pusat mahupun negeri akan diperbaiki agar sumbangannya dipertingkatkan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri  adalah  dari  kalangan  golongan  professional, dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Untuk menghapuskan konflik kepentingan, bayaran elaun kepada semua ahli lembaga pengarah syarikat GLC nasional dan negeri akan diterbitkan setiap tahun dalam format yang mudah disemak oleh rakyat.

Semua syarikat GLC akan mewujudkan program khas pembangunan vendor Bumiputera.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menerima pakai piawaian antarabangsa, seperti Garispanduan OECD Mengenai Tadbir Urus Syarikat Milik Kerajaan, dalam rangka memperbaiki keseluruhan tadbir urus GLC.

Sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen akan ditubuhkan untuk menerima laporan secara berkala daripada Bahagian Pelaburan Kerajaan Kementerian Kewangan mengenai prestasi GLC-GLC dalam negara.

Janji 23: Memastikan sistem perolehan kerajaan menjana faedah maksimum untuk wang rakyat

Jumlah yang dibelanjakan oleh Kerajaan Malaysia untuk perolehan adalah amat besar, iaitu dianggarkan melebihi RM100 bilion setahun melalui pelbagai projek dan kontrak. Dengan jumlah yang sebegitu besar, adalah amat penting untuk dipastikan supaya tidak berlaku pembaziran. Kerajaan hanya memegang amanah wang rakyat, dan menjadi kewajipan kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan dengan berhemah.

Untuk memastikan setiap sen wang rakyat dibelanjakan dengan baik, Kerajaan Pakatan Harapan akan mereformasi sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan, demi memastikan ia lebih berdaya saing dan menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat. Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek- projek besar.

Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan, Kementerian Kewangan akan diarahkan untuk menyemak semula semua projek infrastruktur gergasi dengan negara asing agar faedahnya dapat dikongsi oleh kaum Pribumi dan rakyat Malaysia secara saksama.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menyemak semula amalan sistem perolehan dan tender kerajaan, serta proses perkongsian awam-swasta yang ditadbir oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Matlamatnya ialah memastikan kriteria bidaan adalah telus dan konsisten.

UKAS yang kini beroperasi secara tidak telus di bawah Jabatan Perdana Menteri akan dipindahkan ke Kementerian Kewangan dan semua prosedur pemberian kontrak akan dirombak untuk mengimbangkan kuasa Menteri dan menghapuskan rasuah.

Penggunaan teknologi maklumat dan sistem atas talian akan  diperkembangkan  agar pengaruh individu dan politik dalam membuat keputusan dapat dihapuskan.

Maklumat tentang kontrak yang telah dipersetujui akan dipaparkan dalam laman sesawang agar ia boleh disemak oleh rakyat dan masyarakat sivil. Amalan terbaik yang diwarwarkan oleh rangkaian antarabangsa seperti garispanduan OECD dan Open Contracting Partnership akan dijadikan rujukan utama dalam langkah ini.

Industri Kecil dan Sederhana, termasuk IKS Bumiputera, akan diberi bantuan untuk mengakses maklumat mengenai tender-tender kerajaan, agar mereka mempunyai peluang yang saksama untuk membida kontrak yang sesuai dengannya.

Janji 24: Menghidupkan semangat sebenar konsep federalisme

Malaysia adalah negara persekutuan yang mengamalkan konsep federalisme. Tetapi, konsep ini terlalu banyak dirobek oleh pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional yang rakus merampas kuasa negeri- negeri ke peringkat pusat.

Pakatan Harapan akan menghidupkan semula konsep federalisme   yang   sebenar.   Kami   mempunyai   janji- janji khas untuk Sabah dan Sarawak, iaitu seperti yang digariskan pada bab selepas ini. Pada waktu yang sama, kami juga akan menghidupkan semangat federalisme tulin di semua negeri.

Pembahagian hak dan tanggungjawab seperti yang tersenarai dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan akan dihormati, dan perubahan Jadual Kesembilan untuk menambah kuasa kerajaan pusat akan diminimumkan.

Kuasa negeri-negeri akan diperkukuhkan dengan menurunkan beberapa kuasa yang sesuai kepada negeri, seperti kuasa untuk pentadbiran pengangkutan, kebajikan, perkhidmatan sosial, pertanian dan perlindungan alam sekitar.

Untuk membiayai kuasa negeri yang dipulangkan ini, sekurang-kurangnya 10 peratus daripada hasil cukai pendapatan akan dipulangkan kepada negeri-negeri tempat pembayar cukai bermastautin.

Pada tiga tahun pertama pentadbiran kami, 50 peratus daripada peruntukan belanja pembangunan akan dikhaskan kepada lima negeri termiskin, iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan Perlis.

Janji 25: Memperkukuh peranan dan kuasa pihak berkuasa tempatan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis- Majlis   Perbandaran,   adalah   pihak   berkuasa   yang paling dekat dengan rakyat. Peranan PBT berpotensi dikembangkan  agar  rakyat mendapat perkhidmatan terbaik dengan lebih pantas.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan PBT seluruh negara boleh mencapai piawaian perkhidmatan antarabangsa dalam menjalankan tanggungjawab mereka. Agenda global seperti Sustainable Development Goals 2030 akan dijadikan teras dalam penambahbaikan PBT seluruh negara.

Pakatan Harapan komited untuk memperkukuhkan demokrasi setempat. Akauntabiliti PBT kepada masyarakat setempat akan dipertingkatkan agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab kepada penduduk setempat dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dipinda untuk memastikan hasrat ini tercapai. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil setempat akan diberi tempat untuk menyuarakan pandangan mereka secara terus dalam PBT.

Janji 26: Menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi yang dihormati dunia

Kerajaan Pakatan Harapan akan menjadikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sebagai sebuah badan yang berwibawa dan dihormati. Laporan SUHAKAM akan dijadikan agenda perbahasan di Parlimen agar cadangan-cadangannya ditimbang dengan sewajarnya.

Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM akan dilantik melalui proses Jawatankuasa di Parlimen.

Pelan Hak Asasi Manusia Kebangsaan akan dperbaiki dan dilaksanakan sepenuhnya. Matlamat kita ialah agar kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review menjadi lebih baik dan peningkatan prestasi kita selaras dengan perkembangan dunia.

Peruntukan untuk aktiviti-aktiviti hak asasi manusia oleh SUHAKAM dan badan-badan lain yang berkaitan akan dipertingkatkan. Kapasiti pejabat Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi  Manusia  (AICHR)  juga  akan  dipertingkat  agar kita boleh memainkan peranan utama di peringkat serantau.

Konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi  belum  diratifikasi akan  diratifikasikan seberapa segera, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil.

Janji 27: Menghapuskan undang-undang yang zalim

Sistem perundangan negara kita telah kerap kali disalah guna oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional untuk menjaga kepentingan politik mereka. Ada di antara undang-undang ini yang diwarisi sejak zaman penjajah British lagi, tanpa dipinda untuk menjadikannya lebih adil untuk rakyat sebuah negara merdeka. Ada juga undang-undang zalim yang diperkenalkan oleh UMNO dan Barisan Nasional sendiri.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan undang-undang berikut:
  • Akta Hasutan 1948
  • Akta Pencegahan Jenayah 1959
  • Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971
  • Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
  • Akta Majlis Keselamatan Negara 2016
  • Hukuman  gantung  mandatori  dalam  semua akta
Kerajaan Pakatan Harapan juga akan memansuhkan peruntukan-peruntukan yang zalim dalam akta-akta berikut:
  • Kanun Keseksaan 1997 terutama dalam isu perhimpunan aman dan kegiatan memudaratkan demokrasi
  • Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA)
  • Akta Perhimpunan Aman 2012
  • Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA)
Untuk memastikan semak imbang yang efektif boleh berlaku, Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menghapuskan semua peruntukan dalam semua undang-undang yang menghalang pihak mahkamah menyemak keputusan-keputusan kerajaan atau undang-undang yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Kerajaan Pakatan  Harapan akan memastikan media mempunyai kebebasan untuk menjalankan proses semak imbang terhadap pentadbiran kami. Kami akan menyemak   semua   undang-undang   dan   peraturan yang berkaitan dengan media agar kebebasan media akan dijamin, serta mengambil langkah segera untuk meningkatkan kebebasan dan profesionalisme entiti- entiti seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA.

Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menubuhkan sebuah  Majlis  Media  (Media Council) yang dianggotai oleh tokoh-tokoh media sendiri, yang akan dipertanggungjawabkan menyelaras garispanduan etika pelaporan dan bertindak sebagai badan hisbah dalam menangani aduan orang ramai tentang media.

Janji 28: Membina generasi muda yang kreatif dan bebas daripada cengkaman kezaliman

Paranoia yang dialami oleh UMNO dan Barisan Nasional menyebabkan mereka tanpa segan silu menyalahgunakan pelbagai program semata-mata untuk mempengaruhi anak muda dengan propaganda politik sempit.

Kerajaan Pakatan Harapan akan membubarkan Biro Tata Negara (BTN) yang selama ini giat menjadi agen politik murahan UMNO.

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dibatalkan kerana ia tidak berjaya mencapai objektif yang digariskan dan penuh dengan pembaziran.

Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dimansuhkan kerana ia acap kali disalahguna untuk menyekat kebebasan mahasiswa.

Janji 29: Meningkatkan ketelusan dan integriti belanjawan dan proses belanjawan

Belanjawan  Tahunan  negara adalah mekanisme untuk memastikan kerajaan mempunyai perancangan yang mapan dalam mentadbir negara. Tetapi UMNO dan Barisan Nasional di bawah Dato’ Sri Najib Tun Razak telah menurunkan martabat Ucapan Belanjawan kepada satu pengumuman populis yang menyembunyikan pelbagai perkara.

Malahan, mereka menubuhkan pelbagai syarikat khas (Special Purpose Vehicles, SPV) untuk menyembunyikan perbelanjaan tertentu agar rakyat tidak tahu situasi kewangan sebenar negara. Misalnya, projek-projek mega seperti MRT, LRT Extension, LRT Line 3, Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan Lebuhraya Pan Borneo, adalah beberapa contoh  perbelanjaan  tersembunyi  menggunakan nama SPV. Apabila syarikat-syarikat ini membuat pinjaman, hutang mereka ditanggung oleh kerajaan melalui jaminan. Akibatnya jaminan kerajaan atapun tanggungan luar jangka (contingent liability) telah naik memuncak hampir tiga kali ganda, iaitu daripada RM 84 bilion pada tahun 2009 kepada lebih daripada RM200 bilion pada permulaan tahun 2018.

Di samping itu, UMNO dan Barisan Nasional telah memindahkan perbelanjaan seperti pembinaan bangunan sekolah dan kuarters polis kepada syarikat milik kerajaan seperti Pembinaan BLT dan Pembinaan PFI.

Hutang besar syarikat-syarikat ini disembunyikan daripada pengetahuan rakyat kerana ia tidak disebut secara telus dalam ucapan belanjawan.

Semua ini telah mencipta bom jangka yang boleh membangkrapkan negara jika tidak diperbaiki segera. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaiki ketelusan pentadbiran kewangan negara dan melaksanakan belanjawan yang lebih bertanggungjawab. Kami akan mengambil  kira  syor  daripada badan antarabangsa, seperti International Budget Partnership untuk menambah baik proses penyediaan Belanjawan Negara.

Kementerian Kewangan akan diarahkan menyediakan laporan pertengahan penggal untuk membolehkan ahli-ahli parimen menilai prestasi pengurusan kewangan negara secara telus.

Kami akan melaksanakan sistem perakaunan akrual (accrual accounting) supaya perbelanjaan kerajaan diatur dengan baik.

Oleh kerana terlalu banyak maklumat disembunyikan oleh UMNO dan Barisan Nasional, maka kerajaan Pakatan Harapan akan menjalankan siasatan forensik yang menyeluruh dalam tahun pertama pentadbiran kami untuk mengenal pasti kedudukan sebenar kewangan negara. Maklumat ini akan dikongsi dengan rakyat dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

Untuk  memastikan  pelbagai  pihak,  terutamanya badan-badan bukan kerajaan, mampu memainkan peranan untuk menyemak imbang kerajaan Pakatan Harapan, maka Jabatan Statistik Negara akan diarah untuk menerbitkan data-data penting tentang ekonomi dan sosial secara berkala, dalam format yang mudah dianalisa dan mudah diakses. Untuk memastikan rakyat meyakini integriti dan kesahihan data yang diterbitkan, maka satu panel pakar yang dianggotai oleh individu- individu yang dihormati akan dibentuk untuk menasihati Jabatan Statistik Negara. Semua ini akan memastikan bahawa rakyat secara keseluruhannya boleh memastikan kami sentiasa telus dan bertanggungjawab.

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.