20 tawaran utama PAS untuk PRU14

Leave a Comment

PRU14 | Gagasan Sejahtera hari ini secara rasmi mengumumkan manifesto dengan 20 tawaran utama kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Manifesto Malaysia Sejahtera itu diumumkan Timbalan Presiden PAS merangkap Pengerusi Penggubal Manifesto Gagasan Sejahtera, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebentar tadi.

Ia dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Gagasan Sejahtera, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Syarahan Perdana dan Pelancaran Manifesto PAS PRU14′, di sini.

20 tawaran berkenaan ialah:

1. Menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dan menggantikan dengan sistem percukaian yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Saham Malaysia;

2. Melupuskan hutang peminjam-peminjam PTPTN yang sedia ada untuk meringankan beban anak muda sebagai satu inisiatif permulaan ke arah memberikan pendidikan percuma;

3. Memberikan bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi program It’aam Kebangsaan;

4. Menawarkan bantuan sekali (one-off) sebanyak RM2,000 sebagai modal kepada wanita bekerjaya untuk memulakan kerja dari rumah;

5. Melaksanakan program bas sekolah percuma untuk membantu meringankan bebanan ibu bapa;

6. Memberikan bantuan pembelian kereta pertama di bawah 1300 kuasa kuda (1.3 liter) menerusi pengecualian duti eksais dan pembiayaan pinjaman tanpa faedah (Qardul Hasan);

7. Mengurangkan harga rumah mampu milik antara RM50,000 kepada RM180,000;

8. Mengembalikan semula fungsi Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebagai program untuk memperkasakan golongan miskin bandar dan luar bandar;

9. Menstruktur semula kadar bayaran tol untuk mengurangkan kos hidup rakyat menerusi semakan semula perjanjian konsesi tol yang melebihi 15 tahun;

10. Mewujudkan pentadbiran Malaysia yang bebas rasuah selaras dengan kehendak dan tuntutan syarak menerusi konsep tadbir urus yang berkonsepkan ‘Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan (UMI);

11. Memperkasakan peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan dengan melaksanakan tuntutan Islam sebagai al-Din iaitu sistem yang melengkapi seluruh aspek kehidupan;

12. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran dalam sistem pendidikan negara;

13. Mengembalikan sistem kuota di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi mengimbangi jurang pendidikan antara golongan kaya dan miskin, serta masyarakat bandar dan luar bandar;

14. Mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar pembangunan yang berupaya membasmi kemiskinan dan menyusun semula ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat Malaysia.

15. Membantu kerajaan-kerajaan negeri membukan rancangan pembangunan tanah khususnya untuk golongan muda;

16. Membangunkan penempatan baru mampu milik untuk generasi kedua dan ketiga Felda;

17. Membantu golongan kurang upaya (OKU) menerusi pemerkasaan sistem sokongan berasaskan potensi dan keupayaan diri;

18. Mewujudkan Pusat Komuniti Keluarga Sejahtera (PKKS) di setiap daerah dan lokaliti yang memerlukan untuk memberi khidmat kaunseling, perundangan, kemahiran, bimbingan agama dan latihan keibubapaan;

19. Menyemak kembali nisbah anggota keselamatan berbanding populasi setempat untuk mengurangkan kadar jenayah;

20. Menambah bilangan doktor pakar dan hospital pakar untuk memenuhi keperluan penduduk berasaskan nisbah yang disyorkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.