Pakatan Harapan merasai denyut nadi rakyat yang semakin dibelenggu oleh kesukaran hidup. Kami akan mengambil tindakan segera untuk menstabilkan harga barangan keperluan asas dan mengawal faktor-faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga.
Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan syarikat- syarikat besar tidak boleh menzalimi rakyat melalui kuasa monopoli mereka. Monopoli yang dimiliki oleh syarikat-syarikat seperti BERNAS dalam pengeluaran beras, ASTRO dalam sektor penyiaran, dan lain-lain lagi, akan dikaji semula. Harga ubat-ubatan juga akan dipastikan berpatutan dengan cara memastikan wujud persaingan sihat di kalangan pembekal.
Kerajaan Pakatan Harapan akan bekerjasama secara proaktif dengan pihak pembekal untuk memastikan bekalan barang-barang sentiasa mencukupi, terutama di musim perayaan.
Bekalan barangan yang cukup untuk memenuhi permintaan akan menjamin tiada peningkatan harga yang mendadak.
Insentif yang secukupnya juga akan diberikan untuk meningkatkan bekalan keperluan asas supaya tekanan kenaikan harga boleh dikurangkan dalam masa jangka panjang.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengurangkan kadar duti eksais kereta import yang berperingkat bagi kereta pertama dengan enjin bersaiz di bawah 1600 cc. Ini untuk membolehkan pembelian kereta pertama dilakukan dengan harga lebih rendah. Untuk mengelakkan salah guna, hanya satu kereta yang layak bagi satu isi rumah yang berpendapatan di bawah RM8,000 sebulan.
Kerajaan Pakatan Harapan akan mengambil langkah segera untuk menghapuskan kutipan tol di lebuh raya secara berperingkat.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan kos barangan keperluan harian ialah kejatuhan nilai matawang Ringgit di pasaran antarabangsa. Nilai Ringgit telah jatuh berbanding hampir semua matawang dunia. Malahan juga jika dibandingkan dengan Baht Thailand dan Taka Bangladesh! Malaysia mengimport lebih daripada 90 peratus bekalan susu, 70 peratus bekalan daging dan 50 peratus bekalan sayur. Apabila nilai Ringgit merudum maka, harga barangan ini telah meningkat naik di Malaysia. Kerajaan Pakatan Harapan akan memberikan tanggungjawab kepada Bank Negara Malaysia untuk merangka strategi terbaik untuk mengembalikan nilai Ringgit kembali ke potensi sebenarnya dalam masa 3 tahun.-Manifesto HARAPAN


0 comments:
Post a Comment