Pakatan Harapan berjanji berkongsi kekayaan negara secara bersasar

Leave a Comment

PRU14 | Perkembangan ekonomi Malaysia juga jelas tidak membawa faedah yang sama rata kepada rakyat. Golongan kaya bertambah kaya tetapi golongan pertengahan dan bawahan terus tertekan. Umum sedia maklum bahawa peningkatan gaji median di Malaysia adalah terlalu rendah, dan bilangan pekerja di Malaysia yang mendapat gaji kurang daripada RM2000 sebulan adalah terlalu ramai. Ini perlu diperbetulkan dengan segera.

Kekayaan negara kini dibolot dengan rakus oleh beberapa kerat pemimpin politik, isteri, dan anak-anak mereka.  Mereka  hidup  mewah  dan  boros,  tatkala rakyat sengsara menanggung kos sara hidup seharian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan kekayaan negara boleh dikongsi bersama oleh warga Bumiputera dan semua rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama, termasuklah golongan yang memerlukan di kalangan kaum India dan Orang Asal.

Golongan B40 sedang menghadapi kesukaran hidup yang ketara. Golongan M40 juga berhadapan dengan cabaran yang tidak kurang hebatnya. Kedua-dua kumpulan ini memerlukan bantuan kerajaan dengan cara   dan  kadar   yang   bersasar.  Bantuan  bersasar juga akan memastikan bahawa hanya mereka yang layak sahaja mendapat bantuan kerajaan, manakala golongan yang kaya tidak boleh mengeksploitasi kedudukan mereka untuk kepentingan sendiri.

Pakatan Harapan berpegang dengan pandangan bahawa pemberian bantuan kerajaan perlu dilakukan agar tidak ada rakyat yang ketinggalan. Ini menuntut kepada satu mekanisme yang lebih tersusun yang boleh diwujudkan setelah kita meneliti sistem jaminan sosial yang wujud di negara-negara lebih maju.

Mereka yang layak menerima BR1M akan terus menerima bantuan dan proses pembayaran akan dipastikan bebas daripada diskriminasi atau pengaruh politik kepartian. Kerajaan Pakatan Harapan akan memperbaiki sistem ini agar pengurusan dan pemberiannya lebih setara.

Kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan pengaruh politik dihapuskan daripada proses pemberian bantuan agar semua rakyat tanpa mengira latar belakang politik akan terus mendapat bantuan dan ia ini tidak disalah guna. Penyaluran bantuan kerajaan melalui parti-parti politik atau mereka yang berkepentingan politik akan dihentikan kerana ini adalah amalan yang tidak beretika.  Sebaliknya, pengagihan akan dibuat melalui jentera kerajaan dan badan-badan kebajikan yang tulin.

Sistem bantuan kewangan bersasar tersebut akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang universal (universal social safety net) bagi semua rakyat yang layak, sepertimana yang kini wujud di negara-negara maju.

Pada peringkat awal, skim bantuan ini akan memberi keutamaan kepada rakyat berpendapatan paling rendah di kawasan luar bandar, terutamanya di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Sabah, serta kawasan-kawasan FELDA dan FELCRA. Skim ini akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat.

Pelaksanaan skim ini akan memerlukan penambahbaikan yang signifikan terhadap pangkalan data dan maklumat yang disimpan oleh kerajaan.

Maklumat yang kini disimpan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, program eKasih, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan agensi-agensi lain, termasuklah di negeri-negeri, akan diselaraskan agar data yang dimiliki sentiasa terkini dan tepat.

Negeri-negeri    pengeluar    minyak    dan    gas    akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya. Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan perkiraan politik akan dihentikan.

Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil. Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri. -Manifesto HARAPAN


0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.